ANGKASA buat julung kalinya diberi peluang menyertai Mesyuarat Pegawai Kanan IMT-GT Ke-33 (33rd IMT-GT Senior Officials Meeting) sebagai pemerhati di Medan, Indonesia pada 8 September 2026, sekali gus membuka ruang kepada gerakan koperasi memperkukuh penglibatan dalam kerjasama ekonomi sub-serantau Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT).
Delegasi ANGKASA diketuai Naib Presiden ANGKASA, Tuan Haji Zaharuddin Alias, yang turut menyertai sesi pemadanan perniagaan membabitkan lebih 250 entiti perniagaan dari wilayah IMT-GT.
Peluang itu susulan pemilihan ANGKASA menganggotai Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Kepenggunaan di bawah IMT-GT Joint Business Council.
Tuan Haji Zaharuddin berkata ANGKASA berharap penubuhan Majlis Kerjasama Koperasi atau Cooperative Joint Council (CJC) dapat dipercepatkan bagi menyediakan platform yang diiktiraf untuk koperasi menyuarakan isu dan kepentingan gerakan berkenaan di peringkat sub-serantau.
“Kita berterima kasih kepada pihak IMT-GT kerana memberikan peluang kepada ANGKASA untuk terlibat dalam mesyuarat ini dan berharap penubuhan CJC dapat dipercepatkan selaras dengan hala tuju kerjasama ANGKASA di peringkat IMT-GT,” katanya ketika menghadiri mesyuarat itu.
Dalam pada itu, beliau berkata ANGKASA melalui ASEAN Co-operative Organization (ACO) mempunyai kelebihan di peringkat ASEAN untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan dasar berkaitan koperasi, selain mendapat akses kepada dana program dan projek di bawah inisiatif ASEAN.
Katanya, kelebihan itu susulan pengiktirafan ACO sebagai rakan sekutu ASEAN dalam kategori Civil Society Organization (CSO).
Menurutnya, gerakan koperasi ASEAN kini merangkumi lebih 347,599 koperasi dengan lebih 66.6 juta anggota, termasuk 16,460 koperasi di Malaysia dengan 7.3 juta anggota, 6,600 koperasi di Thailand dan lebih 212,645 koperasi di Indonesia dengan lebih 28 juta anggota.
“Walaupun jumlahnya besar, sumbangan koperasi kepada KDNK nasional masih sekitar tiga hingga tujuh peratus, manakala gerakan koperasi ASEAN telah menyumbang lebih 11 juta peluang pekerjaan,” katanya.
Mengenai IMT-GT, Tuan Haji Zaharuddin berkata kerjasama serantau berkenaan telah menggalakkan pembangunan sosioekonomi yang melibatkan lebih 54 juta penduduk, selain merekodkan nilai perdagangan melebihi US$810.8 bilion pada 2025.
Sehubungan itu, beliau berharap perdagangan yang dijana menerusi gerakan koperasi di wilayah IMT-GT dapat dipertingkatkan, dengan sasaran koperasi menyumbang sekurang-kurangnya satu hingga tiga peratus daripada jumlah perdagangan wilayah berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Kita sudah mempunyai jaringan yang baik. Yang tinggal ialah kesediaan koperasi untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, IMT-GT 32nd Business Matching menghimpunkan lebih 250 entiti perniagaan dari wilayah IMT-GT, terdiri daripada 150 entiti dari Indonesia, 60 Malaysia serta 40 dari Thailand, China, India dan Singapura.
Program berkenaan dijangka menjana nilai perniagaan sehingga IDR100 bilion (RM22.8 juta/US$5.6 juta).














