HomeANTARABANGSAKoperasi Kredit Asia Perkukuh Transformasi, Bina Daya Tahan

Koperasi Kredit Asia Perkukuh Transformasi, Bina Daya Tahan

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menggesa gerakan koperasi kredit Asia memperkukuh transformasi dan daya tahan dalam menghadapi perubahan landskap kewangan global menerusi Asian Credit Union Forum 2026 bertemakan “Overcoming Unspoken Realities: The Transformation & Resilience Era 2026”. 

Beliau dalam ucapannya berkata forum yang menghimpunkan pemimpin koperasi kredit dari seluruh Asia menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, amalan terbaik serta strategi baharu dalam memperkukuh keupayaan koperasi menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan teknologi. 

“Kekuatan gerakan koperasi serantau terletak pada hubungan kerjasama yang kita bina dan perkukuhkan bersama melalui forum ini.”

Menurut beliau, gerakan koperasi Malaysia kini mempunyai lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan melebihi tujuh juta orang, selain memainkan peranan penting dalam sektor kredit, perbankan dan kewangan. Perkembangan ini membuktikan kepentingan koperasi kredit sebagai antara komponen penting dalam ekosistem kewangan negara.

Asian Credit Union Forum 2026 anjuran Association of Asian Confederation of Credit Unions (ACCU) dengan ANGKASA sebagai hos berlangsung di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, bermula 7 hingga 9 September 2026.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata antara cabaran utama yang perlu ditangani ialah pendigitalan, gangguan teknologi kewangan (FinTech), pengukuhan tadbir urus, pembangunan kepimpinan profesional serta usaha menarik penyertaan generasi muda dalam gerakan koperasi.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan ANGKASA dalam memperkukuh ekosistem koperasi menerusi dasar, pembangunan kapasiti, pendigitalan serta sokongan pembiayaan bagi memastikan koperasi kredit terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyeru pemimpin koperasi kredit Asia menjadikan forum ini sebagai medan memperkukuh jaringan dan kerjasama serantau. “Marilah kita belajar daripada kejayaan dan kegagalan masing-masing agar kita dapat membina kerangka gerakan koperasi yang lebih berdaya tahan untuk tahun 2026 dan seterusnya,” katanya. 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Konfederasi Kesatuan Kredit Asia (Association of Asian Confederation of Credit Unions), Elenita V. San Roque, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Kesatuan Kredit Sedunia (World Council of Credit Unions), Paul Treinen dan Ketua Pasukan Teknikal Persatuan Konfederasi Kesatuan Kredit Asia (Association of Asian Confederation of Credit Unions), Ranjith Hettiarachchi.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine