Arena Petanque Hang Jebat, Tanjung Kling, Melaka menyaksikan Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 pada 5 September 2026, dengan menghimpunkan seramai 249 pemain daripada 83 buah pasukan dari seluruh negara.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Lelaki), Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Perempuan) Kategori Koperasi Dewasa (Lelaki) dan Kategori Koperasi Dewasa (Perempuan), selain Kategori Jemputan ANGKASA.
Pemain tampil bertanding dengan semangat berkobar-kobar disulami sorakan daripada rakan sepasukan tanda sokongan dan semangat kebersamaan.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, akan diakhiri dengan acara kemuncak iaitu perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan peringkat akhir diikuti dengan Majlis Perasmian Penutupan pada 6 September 2026.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik turut serta bermain dalam Kategori Jemputan ANGKASA.
Hadir sama ialah Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharudin Alias, Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Abd Hadi, Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri-negeri dan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.




















