Larian Kebudayaan Orang Utara 2026 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, Perlis hari ini (5 September 2026) menjadi wadah menyatukan masyarakat menerusi penggabungan elemen sukan, kebudayaan, komuniti dan semangat perpaduan.
Program anjuran Yayasan ANGKASA dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Pertubuhan Amal Insan Prihatin Parlimen Padang Besar dan Pertubuhan Alumni 4B Negeri Perlis itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai negeri dan latar belakang dalam suasana penuh kemeriahan serta kebersamaan.
Acara dimulakan dengan pelepasan peserta Larian Kebudayaan Orang Utara 2026 pada jam 7 pagi sebelum diteruskan dengan gimik pembukaan Sukan Perpaduan pada jam 9.30 pagi. Majlis perasmian kemudiannya disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslina Abdul Hamid.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Haslina berkata program berkenaan bukan sekadar acara sukan dan rekreasi, sebaliknya menjadi platform untuk menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana santai, sihat dan penuh semangat kebersamaan.
Menurut beliau, penggabungan elemen sukan, rekreasi, kebudayaan, komuniti dan koperasi menjadikan program tersebut sebagai wadah yang berupaya menyemarakkan identiti, memperkenalkan kepelbagaian budaya serta memperkukuh hubungan antara masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda perpaduan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan ANGKASA, Gerakan Koperasi, jabatan dan agensi kerajaan serta komuniti setempat melalui pendekatan whole-of-nation yang dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, tema Kementerian Perpaduan Negara bagi tahun 2026, “Bersama Membina Negara Bangsa”, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang turut memberi penekanan terhadap pembinaan negara bangsa sebagai asas pembangunan rakyat dan negara.
Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata Larian Kebudayaan Orang Utara 2026 merupakan platform penting untuk menghimpunkan masyarakat menerusi sukan, kebudayaan, komuniti dan semangat perpaduan.
Beliau berkata kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian masyarakatnya, justeru perbezaan kaum, agama, budaya, bahasa dan latar belakang perlu dilihat sebagai kekuatan yang menjadikan negara unik serta istimewa.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan turut mengetengahkan budaya dan warisan masyarakat di utara tanah air, khususnya Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk mengenali serta menghayati kepelbagaian budaya dalam suasana yang lebih dekat dengan masyarakat.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata Yayasan ANGKASA melihat perpaduan mempunyai hubungan rapat dengan kekuatan Gerakan Koperasi yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk bekerjasama, berkongsi manfaat dan membina kekuatan ekonomi secara kolektif.
Beliau berharap Larian Kebudayaan Orang Utara 2026 terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat, memperkenalkan kekayaan budaya negeri-negeri Utara serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan rakyat, selaras dengan usaha menjadikan koperasi bukan sahaja sebagai entiti ekonomi, malah sebagai agen pembangunan masyarakat dan pemangkin perpaduan.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk cabutan bertuah, pertandingan busana terbaik, pameran dan jualan dalam suasana santai dan meriah.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Datuk Md Yusof Shamsuddin, Haji Nasir Khan Yahaya dan Dato’ Hajah Rosni Haji Zahari; Setiausaha ANGKASA Negeri Perlis, Datuk Haji Azizi Ariffin; Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad; serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Encik Shahrizal Abdan.































