Kenduri Perdana Koperasi anjuran ANGKASA adalah bertepatan dengan nilai-nilai dan semangat berkoperasi yang berteraskan kebersamaan serta saling bantu-membantu.
Semangat tersebut perlu sentiasa dijaga dan disuburkan agar koperasi dilihat sebagai satu identiti yang dekat dan suka membantu masyarakat.
Demikian ucapan yang disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pada Majlis Penyerahan Sumbangan CSR Coop Care ANGKASA, sempena Kenduri Perdana Koperasi di kawasan perkarangan Wisma Ungku A. Aziz, pada 3 September 2026.
Pada majlis itu, ANGKASA menyampaikan baucar barangan keperluan harian daripada ANGKASAMart bernilai RM1,000 kepada tiga penerima, iaitu Pusat Jagaan Darul Sakinah, Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah) serta Pusat Tahfiz Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu memenuhi keperluan harian serta meringankan beban para penerima, malah inisiatif itu terus menjadi sebahagian daripada usaha ANGKASA dalam berkongsi rezeki sekali gus memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Inisiatif CSR Coop Care merupakan antara usaha ANGKASA bagi memastikan koperasi terus memainkan peranan sebagai sebuah gerakan yang mempunyai nilai kemanusiaan dan prihatin terhadap masyarakat serta sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
Beliau percaya, koperasi bukan sahaja boleh menjadi tempat untuk menjalankan aktiviti ekonomi, malah boleh berperanan sebagai sebuah gerakan yang sentiasa cakna dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.
Justeru, beliau menyeru agar lebih banyak koperasi tampil melaksanakan program-program kemasyarakatan dan kebajikan.
“Kerjasama seperti ini membolehkan agenda memperkasakan gerakan koperasi dapat diterjemahkan dalam bentuk yang memberi manfaat kepada rakyat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang. “ ujarnya lagi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.












