ANGKASA menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam kali ke-20 dengan mengangkat “Rezeki Merentas ANGKASA” sebagai tajuk yang mengupas konsep rezeki serta kepentingan ta’awun atau kerjasama menerusi koperasi dalam membina kekuatan bersama.
Forum anjuran ANGKASA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Penyiaran Malaysia itu disiarkan secara langsung dari Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 3 September 2026.
Program keagamaan tersebut menampilkan Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Dr. Haji Badli Shah Alauddin dan pendakwah terkenal, Dato’ Mohammad Kazim Elias, manakala Ustaz Zakaria Othman pula sebagai moderator.
Dato’ Dr. Haji Badli Shah berkata pemahaman mengenai rezeki tidak seharusnya tertumpu kepada wang dan harta semata-mata, sebaliknya merangkumi segala bentuk pemberian Allah SWT yang memberi manfaat kepada manusia, termasuk kesihatan yang baik dan akal yang sihat.
Beliau berkata kemuncak rezeki adalah apabila seseorang mampu memanfaatkan apa yang dikurniakan, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah memberi manfaat kepada orang lain.
“Ramai yang memahami rezeki sebagai duit dan harta, sedangkan menurut ulama, rezeki ialah apa sahaja pemberian Allah SWT kepada kita yang memberi manfaat,” katanya.
Mengulas konsep ta’awun, beliau berkata konsep berkenaan bukan sekadar amalan saling membantu ketika menghadapi kesusahan, sebaliknya merangkumi usaha membina kekuatan secara berjemaah dengan menghimpunkan kepakaran, modal dan sumber, seperti yang diterapkan dalam gerakan koperasi.
Katanya, koperasi merupakan satu bentuk ta’awun kerana menghimpunkan kepakaran dan modal dalam satu rantaian bagi membina kekuatan bersama.
Sementara itu, Dato’ Mohammad Kazim berkata antara pendekatan untuk membina kekayaan ialah memperluas jaringan persahabatan dan hubungan, selain memastikan urusan mencari rezeki sentiasa berpandukan nilai agama.
Menurutnya, konsep membina kekayaan melalui jaringan dan kerjasama itu turut mempunyai kaitan rapat dengan gerakan koperasi yang menghimpunkan anggota, modal dan kepakaran untuk membina kekuatan ekonomi secara bersama.
Beliau berkata koperasi perlu terus memainkan peranan dalam memperkukuh ekonomi anggotanya menerusi kerjasama dan jaringan yang lebih luas.
“Kalau hendak menjadi orang kaya, kena ada ramai kawan. Koperasi juga begitu kerana kekuatannya terletak pada jumlah anggota, jaringan dan kerjasama yang dibina bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Mohammad Kazim turut mengingatkan golongan peniaga supaya mengutamakan sifat jujur, amanah dan benar serta mematuhi syariat Islam dalam urusan perniagaan.
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan ‘fujjar’ (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertaqwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Mohd Syukri Abdul Majid, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM, Encik Rozdeen Mohd Jaafar, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Haji Efendee O P Andu, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Tuan Shamsudin Mamat.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias, Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Haji Azizul Alias, barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri dan Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA serta Pengurusan Kanan ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.























































