Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 membuktikan sektor agromakanan negara terus mendapat sambutan kukuh selain berupaya menjadi platform memperkasa pertanian menerusi teknologi, pelaburan dan peluang perniagaan.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian MAHA 2026 yang mencatat pancapaian terbaik dalam sejarah penganjurannya membuktikan sektor pertanian kekal antara paling penting dalam pembangunan negara meskipun Malaysia kini berdepan perubahan teknologi dan ekonomi yang pesat.
Menurutnya, sektor pertanian bukan lagi tertumpu kepada pengeluaran makanan semata-mata sebaliknya semakin berkait rapat dengan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, teknologi moden, TVET serta hubungan perdagangan antarabangsa.
“Sehubungan itu, sektor pertanian dan program Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kekal menjadi antara fokus kerajaan dalam merangka Belanjawan Negara yang akan dibentangkan Oktober ini.
Saya percaya peruntukan itu tentunya harus ditambah sesuai dengan prestasi yang membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 6 September 2026.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang pertambahan peruntukan perlu disertai tatakelola yang baik bagi memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasar termasuk petani, pesawah dan nelayan.
“Kejayaan MAHA tidak seharusnya berakhir sebagai sebuah pameran semata-mata sebaliknya perlu diteruskan dengan tindakan susulan dalam aspek pelaburan, perniagaan dan perdagangan,” ujarnya.
MAHA 2026 yang berlangsung selama 10 hari merekodkan 4,296,662 pengunjung termasuk 1.72 juta golongan belia, selain menghimpunkan lebih 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa.
Penganjuran kali ini turut mencatatkan nilai jualan langsung RM66.88 juta, manakala 97 Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan kolaborasi strategik dan jangkaan pelaburan bernilai kira-kira RM10.35 bilion.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam ucapan aluannya berkata, pencapaian tersebut membuktikan kekangan perbelanjaan bukan penghalang kepada kejayaan penganjuran MAHA 2026.
“Segala perjanjian, jalinan perkongsian teknologi dan peluang yang tercetus sepanjang penganjuran perlu disusuli tindakan pantas supaya manfaatnya dapat dirasai petani, peladang, penternak, nelayan dan pengguna,” jelasnya.


















Dalam perkembangan berkaitan, prestasi sektor agromakanan negara turut menunjukkan perkembangan positif apabila defisit imbangan dagangan sektor itu berkurang RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada 2025.
Bagi tempoh sehingga Mei 2026, defisit tersebut terus menurun 26.4 peratus dengan nilai eksport agromakanan meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion manakala import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” turut memberi penekanan kepada pertanian pintar, automasi, dron, AI, Internet of Things (IoT) dan teknologi makanan selain membuka ruang kepada golongan belia meneroka peluang kerjaya serta keusahawanan dalam sektor agromakanan.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam temu bual bersama pemberita PELANCAR berkata, sektor koperasi masih kurang diberi perhatian dalam setiap penganjuran MAHA. Beliau berharap usaha mempromosikan koperasi pertanian dapat dipikul secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), sebaliknya turut mendapat sokongan kementerian lain termasuk KPKM bagi membantu koperasi meningkatkan daya saing.
Dalam pada itu, beliau menyeru gerakan koperasi khususnya koperasi pertanian supaya lebih proaktif dan berdaya saing untuk berdiri sama tinggi dengan sektor swasta serta tidak hanya menunggu peluang atau jemputan untuk terlibat dalam program dan inisiatif berkaitan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail.


