ANGKASA telah mengadakan sesi kunjungan hormat dan perbincangan strategik bersama Duopharma Biotech Berhad bertempat di Bandar Baru Bangi, Selangor hari ini (7 April 2026), bagi memperkukuh jalinan kerjasama dalam industri farmaseutikal negara.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama delegasi ANGKASA telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Encik Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid serta barisan pengurusan tertinggi syarikat.
Program dimulakan dengan sesi ucapan pembukaan dan taklimat keselamatan sebelum diteruskan dengan sesi pengenalan oleh kedua-dua pihak. Dalam sesi tersebut, kedua-dua organisasi berkongsi latar belakang, peranan serta potensi kerjasama yang boleh diteroka.
Perbincangan utama memberi tumpuan kepada peluang kerjasama strategik antara ANGKASA dan Duopharma dalam sektor farmaseutikal, termasuk aspek produk, perubatan, pengurusan serta pemasaran. Selain itu, turut dibincangkan pembentangan mengenai MYANGKASA Farmasi Sdn Bhd serta perkongsian pelaksanaan inisiatif integriti, tadbir urus dan antirasuah oleh pihak ANGKASA.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menzahirkan penghargaan kepada pihak Duopharma Biotech Berhad atas kesediaan menerima kunjungan tersebut serta berkongsi kepakaran dalam industri farmaseutikal. Beliau berkata, kolaborasi strategik seperti ini amat penting dalam membuka ruang baharu kepada gerakan koperasi untuk menceburi sektor bernilai tinggi dan berimpak besar.
Beliau turut menekankan kepentingan aspek tadbir urus yang baik, integriti serta pematuhan kepada piawaian industri dalam memastikan kelestarian dan kepercayaan terhadap sektor koperasi terus diperkukuh.
Sebagai sebahagian daripada program, delegasi turut dibawa melawat fasiliti Duopharma bagi melihat pelaksanaan inisiatif integriti dan amalan terbaik syarikat dalam operasi mereka.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan bergambar sebagai simbolik penghargaan serta komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan kerjasama pada masa hadapan.
Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Abdullah, Ketua Pengurusan Risiko dan Integriti Kumpulan, Duopharma Biotech Berhad, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Mohd Salleh dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.




























