HomeUncategorizedKuala Lumpur Jadi Tumpuan 570 Delegasi Koperasi Kredit Asia

Kuala Lumpur Jadi Tumpuan 570 Delegasi Koperasi Kredit Asia

Lebih 570 delegasi dari 22 negara berhimpun di ibu negara bagi mencari pendekatan baharu memperkukuh masa depan koperasi kredit Asia ketika sektor itu berdepan perubahan pesat teknologi, tekanan ekonomi dan tuntutan anggota yang semakin kompleks.

Berlangsung dari 10 hingga 12 September 2026, di Times Square Hotel, Kuala Lumpur, Asian Credit Union Forum (ACUF) 2026 menjadi medan pertemuan gerakan koperasi kredit serantau untuk membincangkan strategi, berkongsi pengalaman serta meneroka pendekatan baharu dalam memperkukuh daya tahan sektor berkenaan.

Forum bertemakan “Overcoming Unspoken Realities: The Transformation & Resilience Era 2026” itu dianjurkan Association of Asian Confederation of Credit Unions (ACCU) dengan kerjasama ANGKASA sebagai tuan rumah.

Antara perkara yang menjadi tumpuan ialah pendigitalan perkhidmatan kewangan, perkembangan teknologi, tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi, perubahan keperluan anggota serta pengukuhan tadbir urus dan pengurusan risiko.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud berkata koperasi kredit mempunyai peranan penting dalam memperluas akses pembiayaan kepada anggota, khususnya mereka yang memerlukan sokongan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup dan mengembangkan aktiviti ekonomi.

Beliau berkata sektor itu perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan ekonomi menerusi pengukuhan inovasi, kecekapan operasi, tadbir urus serta pengurusan risiko, di samping mengekalkan prinsip koperasi yang mengutamakan kepentingan anggota.

“Kerajaan mahu melihat gerakan koperasi terus berkembang sebagai satu kekuatan ekonomi yang berkualiti, berdaya tahan dan memberi impak yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata ACUF 2026 memberi peluang kepada gerakan koperasi kredit Asia memperkukuh jaringan kerjasama, selain berkongsi pengalaman, inovasi dan amalan terbaik dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta kewangan.

Beliau berkata ANGKASA akan terus memperluas jaringan antarabangsa bagi memberi manfaat kepada lebih 16,000 koperasi di Malaysia, dengan kerjasama rentas sempadan penting dalam memperkukuh ekosistem kewangan koperasi, memperkasa komuniti dan merapatkan jurang ekonomi.

Sementara itu, Statistik Koperasi Malaysia 2025 merekodkan sebanyak 16,468 koperasi di seluruh negara, meningkat daripada 16,284 pada 2024, menunjukkan pertumbuhan berterusan gerakan koperasi Malaysia.

Penglibatan ANGKASA dalam jaringan antarabangsa seperti International Cooperative Alliance (ICA), ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan ACCU turut membuka ruang kepada Gerakan Koperasi Malaysia memperluas perkongsian kepakaran dan kerjasama strategik di peringkat serantau.

ACUF 2026 merupakan kali kelima Malaysia menjadi tuan rumah selepas edisi 2000, 2003, 2007 dan 2019, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara platform penting perbincangan dan kerjasama gerakan koperasi kredit di Asia.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Presiden ACCU, Mr Danukrit Kalampakorn, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengarah Bahagian Perancangan Dasar dan Pembangunan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Puan Norazila Mohd Zainol, Timbalan Ketua Pengarah, Institut Koperasi Malaysia, Encik Mohd Zaib Mat Yunus, Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Haji Azizul Alias dan Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Kewangan), Encik Ezleezan Othman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine