ANGKASA menganjurkan Malaysian Night Dinner bagi meraikan delegasi Asian Credit Unions Forum 2026 yang berlangsung di Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Hotel pada 11 September 2026.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, dalam ucapannya berkata, ANGKASA berbesar hati menjadi tuan rumah kepada barisan pemimpin dan penggerak koperasi dari seluruh rantau Asia yang bersama-sama membentuk masa depan gerakan koperasi dan kredit.
“Malam ini bukan sekadar untuk meraikan perjalanan kita bersama, tetapi juga membina rangkaian, persahabatan dan hubungan yang berkekalan. Walaupun kita datang dari negara yang berbeza, nilai serta visi koperasi tetap menyatukan kita.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ACCU atas komitmen menghimpunkan gerakan koperasi kredit serantau, selain menyifatkan kehadiran para delegasi sebagai bukti pentingnya kerjasama dalam memperkukuh pertumbuhan mampan serta manfaat kepada komuniti.
“Kami berharap para peserta antarabangsa dapat merasai kehangatan hospitaliti Malaysia, menikmati makanan yang disediakan, menghayati budaya kita dan menggunakan kesempatan ini untuk berkenalan serta membina persahabatan sepanjang hayat.”
Kemuncak Malaysian Night turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh koperasi SMK Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur, yang menampilkan kepelbagaian budaya Malaysia menerusi tarian dan nyanyian.
Persembahan tersebut mencerminkan usaha ANGKASA dalam menyemai semangat koperasi dalam kalangan generasi muda, di samping memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada para delegasi ACCU.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Presiden ACCU, Mr Danukrit Kalampakorn, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACCU, Elenita V. San Roque, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain serta Pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin.


































