Pihak Universiti IPB Bogor, Indonesia menyatakan hasrat untuk memperluaskan kerjasama strategik bersama ANGKASA khususnya dalam bidang koperasi, pembangunan komuniti, pertanian komuniti dan pengurusan alam sekitar.
General Secretary, Faculty of Forestry and Environment, Universiti IPB Bogor, Dr. Soni Trison berkata, pihak universiti teruja berkongsi mengenai pelaksanaan program “Social Forest” yang melibatkan pengurusan tanah komuniti bagi tempoh jangka panjang sehingga 35 tahun termasuk aktiviti pertanian, tanaman buah-buahan dan pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Ia turut menyentuh mengenai peranan koperasi dalam membantu masyarakat melalui program pertanian komuniti, pembangunan tanah dan penglibatan komuniti setempat dalam aktiviti ekonomi.
Perbincangan antara pihak AGKASA dan IPB Bogor, Indonesia berlangsung di pejabat Presiden, Wisma Ungku A. Aziz pada 18 Mei 2026.
Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mencadangkan supaya koperasi siswa di Malaysia dapat menjalinkan kolaborasi bersama koperasi mahasiswa di Universiti IPB melalui program pertukaran idea, pembangunan kepimpinan dan jaringan antarabangsa.
Program tersebut termasuklah program lawatan akademik, pertukaran pelajar, kolaborasi koperasi siswa, program pembangunan komuniti serta program berkaitan kelestarian alam sekitar dan pertanian komuniti.
Gerakan koperasi di Indonesia juga semakin berkembang dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi di samping pertumbuhan kira-kira 4,000 universiti di Indonesia. Usaha sedang dijalankan bagi memperkukuhkan penubuhan serta penglibatan koperasi dalam kalangan universiti dan mahasiswa.
Sementara itu, pihak Universiti IPB Bogor turut memohon pertimbangan ANGKASA untuk menaja dua orang pelajar dari Afghanistan bagi melanjutkan pengajian mereka di IPB.
Hadir sama dalam perbincangan itu ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Ustaz Safian Abdul Rahman.









