Pelancongan koperasi dilihat berpotensi berkembang sebagai model perniagaan mampan yang bukan sahaja menjana pendapatan komuniti, malah mampu memperkukuh pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif di rantau Asia Pasifik.
Perkara itu diketengahkan menerusi Webinar Pra-Program bertajuk Pelancongan Koperasi – Meneroka Potensi Perniagaan yang berlangsung secara dalam talian pada 15 Mei 2026 sebagai persediaan menjelang Program Imersif Serantau Pelancongan Koperasi ICA-AP (ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism) di Pahang, Malaysia pada Julai depan.
Webinar tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Koperasi Institusi Pendidikan ICA-AP (ICEI) dengan kerjasama Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP serta Seksyen Malaysian Business Office (MBO).
Pengerusi ICEI, Prof. Shogo Takegawa, berkata pelancongan koperasi menawarkan pendekatan unik yang memberi keutamaan kepada komuniti setempat, pembangunan inklusif dan kelestarian sosial.
Menurut beliau, koperasi mengutamakan kesejahteraan komuniti melalui penglibatan anggota dan pembangunan lestari berbanding keuntungan semata-mata.
“Apabila prinsip tersebut diterapkan dalam sektor pelancongan, pendekatan itu mampu mewujudkan model yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah memelihara budaya tempatan, memperkasa komuniti dan menggalakkan pembangunan yang lebih inklusif,” katanya.
Tambah beliau, pelancongan koperasi bukan sekadar inisiatif sosial, sebaliknya mempunyai potensi perniagaan yang besar dan mampu dikembangkan menerusi perkongsian pengalaman serta kerjasama rentas negara.
Webinar itu menampilkan panel penceramah terdiri daripada Pengurus Pembangunan Perniagaan Kerala Arts & Crafts Village (India), Mr. Satheeshkumar N.; Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif National Cooperative Council of Sri Lanka, Mr. Asanka Thilakarathna; Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nueva Segovia Consortium of Cooperatives (Filipina), Dr. Divina C. Quemi serta Pengarah Urusan MS Chemerkaw Sdn. Bhd. merangkap Pengurus Chemerkaw Resort, Puan Munirah Mustapa.
Turut menyampaikan pembentangan ialah Pengarah Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Mr. Balu Iyer, mengenai perspektif pelancongan koperasi di Asia Pasifik dan peringkat global.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Naib Pengerusi ICEI, Dato’ Haji Kamarudin Ismail pula membentangkan pengenalan mengenai Program Imersif Serantau Pelancongan Koperasi ICA-AP yang akan berlangsung di Raub, Pahang dari 22 hingga 26 Julai 2026.
Menurut beliau, program tersebut bakal menghimpunkan peserta dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk mendalami ekosistem pelancongan koperasi Malaysia menerusi sesi perkongsian, lawatan tapak dan interaksi bersama koperasi yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan komuniti.
Katanya, peserta turut berpeluang merasai sendiri pakej pelancongan yang disediakan oleh Koperasi Homestay Kampung Peruas Berhad dan Koperasi SMK Tengku Ampuan Afzan Berhad yang melibatkan aktiviti alam semula jadi, kebudayaan dan rekreasi komuniti.
“Program ini bertujuan meletakkan pelancongan koperasi bukan sekadar sebagai aktiviti komuniti, tetapi sebagai model perniagaan berdaya maju yang mampu menjana pendapatan, memperluas akses pasaran dan memperkukuh jaringan perdagangan antara koperasi di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah kepada program serantau tersebut yang turut diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata, program berkenaan memberi peluang kepada peserta antarabangsa untuk melihat sendiri ekosistem pelancongan koperasi Malaysia melalui lawatan ke koperasi homestay komuniti, aktiviti eko-pelancongan di Taman Negara serta program pelancongan koperasi sekolah.

















