MUIP Holdings Sendirian Berhad iaitu anak syarikat kepada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) sedia menjalin kerjasama dengan ANGKASA, sebagai Pusat Pengedaran Barangan Asas 100 (BA100) untuk seluruh Koperasi Kariah Masjid (KKM) di Negeri Pahang.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama tersebut merupakan jihad ekonomi dalam meningkatkan taraf hidup ummah selain dapat memajukan KKM.
“Pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan melalui KKM bagi memartabatkan ekonomi ummah, malah zakat perniagaan yang dikeluarkan daripada hasil keuntungan adalah lebih afdhal daripada zakat firah.” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan satu perbincangan ringkas bersama rombongan MUIP yang mengadakan lawatan ke Koperasi Kariah Masjid (KKM) Al Hasanah Bangi Berhad, Selangor di Bandar Baru Bangi pada 14 Mei 2026.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Holdings Sdn Bhd, Encik Rizal Haji Ahmad berkata, kunjungan tersebut dapat memberi ilmu dan pengalaman baharu kepada mereka mengenai pengurusan KKM Al Hasanah Bangi Berhad dalam melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi.
Tinjauan pihaknya ke KKM tersebut pasti akan membantu beliau dan pasukannya dalam memikul amanah yang dipertanggunjawabkan iaitu membangunkan KKM di seluruh Negeri Pahang.
Terdahulu, rombongan hadir di Wisma Ungku A. Aziz bagi membincangkan kerjasama yang akan diadakan antara ANGKASA dan MUIP Holdings Sdn Bhd dalam masa terdekat.
Mereka turut mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) KKM Al Hasanah Bangi Berhad, Haji Kamaruzaman Md Riffin merangkap Penolong Bendahari Masjid, selain melawat permis perniagaan di sekitar perkarangan kawasan masjid tersebut.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Haji Mohd Nasiruddin Othman, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA merangkap AJK KKM Al Hasanah Bangi Berhad, Ustaz Safian Abdul Rahman, Pengerusi KKM Al Hasanah Bangi Berhad, Kept. Haji Kamarudin Idris TLDM (B) serta barisan Ahli Jawatankuasa KKM Al Hasanah Bangi Berhad.




















