Yayasan Infaq ANGKASA dengan kerjasama Koperasi Profesional Utama Berhad (KoPro Utama) telah menganjurkan Program Klinik Kasih 2026 bertempat di Dewan Ali Baharum, ANGKASA, Kelana Jaya pada 23 Mei 2026.
Program yang julung kali diadakan sebagai projek rintis di bawah sub-projek Klinik Kasih ini bertujuan membantu golongan asnaf dan B40 mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan berkualiti pada kos yang lebih mampu milik selaras dengan komitmen kebajikan dan kesejahteraan komuniti yang digerakkan oleh ANGKASA dan Yayasan Infaq ANGKASA.
Sepanjang dua hari penganjuran program, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan kesihatan telah disediakan termasuk Program Berkhatan, Pemeriksaan Kesihatan, Vaksinasi Tahunan Influenza serta Taklimat Kesihatan kepada para peserta.
Program ini turut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan rawatan dan pemeriksaan awal secara mudah dan teratur selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit dalam komuniti.
Presiden ANGKASA merangkap Pengasas Yayasan Infaq ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Program Klinik Kasih 2026 merupakan manifestasi keprihatinan gerakan koperasi dalam membantu masyarakat yang memerlukan khususnya golongan asnaf dan B40.
“Program ini dianjurkan bagi meringankan beban kewangan golongan asnaf, B40 serta warga kerja ANGKASA, anak syarikat ANGKASA dan jaringan ANGKASA yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam aspek kesihatan. Saya percaya usaha seperti ini amat penting dalam membantu masyarakat mendapatkan akses kesihatan yang lebih baik khususnya ketika kos rawatan dan perubatan semakin meningkat,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa sehingga tahun 2026, Yayasan Infaq ANGKASA berjaya mengumpul dana berjumlah RM35 juta hasil sumbangan lebih 5,144 penyumbang infaq dari seluruh negara termasuk sumbangan daripada ANGKASA sendiri, manakala jumlah agihan sejak penubuhan yayasan pada tahun 2010 telah mencecah RM23 juta.
Beliau berharap pengurusan yayasan akan terus memperluaskan inisiatif kebajikan seperti Projek Klinik Kasih ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman demi memastikan manfaat infaq dapat dinikmati oleh lebih ramai masyarakat yang memerlukan.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden
ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib PresidenANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Ketua Pegawai
Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA (YIA), Dr. Mohd Azlan Yahya, Wakil Koperasi Progression Utama Berhad, Dr Mohd Ezreen Abdullah serta Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Petaling Jaya, Encik Mohd Fadhil.






































