Malaysia menerima sokongan sebulat suara daripada gerakan koperasi ASEAN apabila Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sekali lagi dipilih sebagai Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pemilihan beliau dalam Mesyuarat Agung Tahunan ACO 2026 itu mencerminkan keyakinan dan sokongan berterusan negara anggota ASEAN terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam menerajui ACO sehingga berjaya memperoleh akreditasi rasmi sebagai Entiti Bersekutu ASEAN di bawah kategori Civil Society Organisation (CSO) pada 2 April 2026. Pengiktirafan tersebut sekali gus menjadikan ACO sebagai suara rasmi sulung gerakan koperasi di rantau ASEAN.
Dalam mesyuarat sama, Pengerusi Cooperative League of Thailand, Mr. Poramate Intarachumnum turut dilantik secara rasmi sebagai Naib Presiden 2 ACO. ACO turut mencipta satu lagi sejarah apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai Ahli Tetap ACO selepas sebelum ini berstatus negara pemerhati.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, beliau menerima mandat kepimpinan tersebut dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab besar demi memastikan agenda pembangunan koperasi ASEAN terus diperkasakan.
Beliau berkata, pengiktirafan sebagai Entiti Bersekutu ASEAN bukan lagi sekadar kemenangan simbolik kerana ACO kini mempunyai kedudukan rasmi dalam platform tertinggi ASEAN.
“Status ini hadir bersama tanggungjawab yang besar. Kita perlu memastikan tadbir urus organisasi terus cemerlang serta setiap program yang dilaksanakan memberi impak jelas dan berkesan kepada gerakan koperasi di seluruh rantau ASEAN,” katanya.
Menurut beliau, ACO akan terus mempergiat pelaksanaan program utama termasuk penginstitusian ASEAN Co-operative Management and Leadership Institute (ACMAL) serta pelancaran program kepimpinan sulung “ASEAN Edition” yang dijadual berlangsung pada Ogos 2026.
Justeru, katanya, ACO juga akan terus memperkasakan pelaksanaan program strategik lain termasuk penubuhan Cooperative Joint Council (CJC) yang dilihat penting dalam memperkukuh kedudukan ACO sebagai suara rasmi gerakan koperasi di peringkat ASEAN.
Mesyuarat yang berlangsung secara hibrid di Prai, Pulau Pinang pada 21 Mei 2026 itu dihadiri seramai 32 wakil koperasi dari tujuh negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor-Leste.
Sebanyak tujuh agenda utama dibentangkan dalam mesyuarat kali ini termasuk pengesahan agenda mesyuarat serta minit terdahulu bertarikh 14 April 2026, penyata kewangan beraudit berakhir 31 Disember 2025 serta perubahan komposisi Ahli Lembaga dan keanggotaan ACO.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung ACO merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Bendahari ACO merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Ahli Majlis Kerja ACO terdiri daripada Mr. S. Ahlaimuniandy, Dato’ Haji Mohd Nasiruddin Othman dan Dr. Hajah Salmah Ishak, Pengarah Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle Joint Business Council (IMT-GT JBC), Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad serta Pengerusi IMT-GT JBC Indonesia, Bapak Sjahrian Harahap.






































