Saturday, May 23, 2026
HomeANTARABANGSAANGKASA Wakili Sektor Peruncitan dan Kepenggunaan IMT-GT JBC, Perkukuh Penubuhan CJC

ANGKASA Wakili Sektor Peruncitan dan Kepenggunaan IMT-GT JBC, Perkukuh Penubuhan CJC

ANGKASA diberi pengiktirafan untuk mewakili sektor peruncitan dan kepenggunaan dalam struktur baharu Jawatankuasa Pelaburan di bawah Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle Joint Business Council (IMT-GT JBC).

Pengiktirafan tersebut turut menyokong usaha ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan IMT-GT JBC dalam merealisasikan penubuhan Majlis Kerjasama Koperasi (Cooperative Joint Council – CJC) sebagai platform penyelarasan dan kerjasama gerakan koperasi di bawah koridor ekonomi IMT-GT.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata demikian kepada wakil media selepas mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat COOP@IMT-GT 2026 di Prai, Pulau Pinang pada 20 Mei 2026.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar penglibatan dalam struktur pelaburan serantau, malah membuka ruang lebih luas kepada gerakan koperasi untuk terlibat secara langsung dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi rentas sempadan di bawah IMT-GT,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan CJC dilihat mampu menjadi pemangkin kepada penyelarasan gerakan koperasi di bawah koridor ekonomi IMT-GT menerusi pengukuhan jaringan perdagangan, pelaburan dan akses pasaran rentas sempadan antara koperasi di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Menurut beliau, platform tersebut juga berperanan mengangkat suara gerakan koperasi dalam kerjasama ekonomi serantau di samping menggalakkan pembangunan ekonomi berasaskan komuniti yang lebih inklusif dan mampan menerusi inisiatif dipacu koperasi.

Program anjuran ANGKASA dan ACO dengan kerjasama IMT-GT JBC itu berlangsung secara hibrid dan menghimpunkan 55 peserta termasuk 18 delegasi antarabangsa yang mewakili badan apeks gerakan koperasi dari 10 negara ASEAN.

Program tersebut turut menghimpunkan 14 koperasi dari Pulau Pinang untuk dipadankan dengan rakan strategik serta rantaian pasaran di bawah kendalian IMT-GT JBC.

“Kami menghimpunkan koperasi terbaik dari Pulau Pinang untuk bertemu secara langsung dengan rakan IMT-GT. Sasaran kami adalah untuk melihat sekurang-kurangnya tiga padanan perniagaan berimpak tinggi berjaya dimeterai sebelum program ini berakhir,” kata Datuk Seri Dr. Abdul Fattah.

Katanya, kerjasama sektor koperasi Malaysia, Indonesia dan Thailand di bawah koridor IMT-GT mampu mewujudkan kesan berganda yang memperkukuh daya tahan ekonomi serantau.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan rasmi ACO sebagai Entiti Bersekutu ASEAN di bawah kategori Civil Society Organisation (CSO) pada 2 April 2026 sebagai pencapaian bersejarah yang membuka lembaran baharu kepada gerakan koperasi ASEAN.

“Pengiktirafan ini membolehkan ACO mendapat tempat rasmi dalam platform ASEAN, selain membuka akses institusi untuk memanfaatkan dana pembangunan secara langsung daripada ASEAN dan rakan strategik global. Sebab itu ANGKASA dan ACO perlu terus mempergiat program seperti ini,” jelasnya.

Penganjuran kali ini merupakan kesinambungan daripada program rintis pada tahun 2024 yang menyaksikan sektor koperasi Malaysia mula diperkenalkan secara rasmi kepada komuniti IMT-GT di bawah naungan Centre for IMT-GT Subregional Cooperation (CIMT).

Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ACO, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Pengarah IMT-GT, Encik Amri Bukhairi Bakhtiar yang turut menyertai secara dalam talian, Pengarah IMT-GT JBC, Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad, Pengerusi IMT-GT JBC Indonesia, Bapak Sjahrian Harahap, Pengerusi IMT-GT JBC Thailand, Mr. Natthanon Phongthanyawiriya, Pengerusi Eksekutif Percon Corporation, Y.M. Raja Dato’ Azwane Raja Ariff, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Haji Mohd Nasiruddin Othman serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.

Turut serta ialah rakan industri IMT-GT termasuk wakil dari QEW Corporations, Dewan Perniagaan Satun (Satun Chamber of Commerce) dan Sri Lovely Sdn. Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine