Friday, May 29, 2026
HomeAKTIVITIACO Perkukuh Jambatan Ekonomi ASEAN-China Melalui Integrasi Digital dan Pembayaran Rentas Sempadan

ACO Perkukuh Jambatan Ekonomi ASEAN-China Melalui Integrasi Digital dan Pembayaran Rentas Sempadan

Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) terus mengorak langkah strategik dalam memperkukuh hubungan ekonomi serantau menerusi integrasi perdagangan digital, sistem pembayaran rentas sempadan serta pembangunan koridor pasaran antarabangsa bersama China.

Usaha berskala besar itu diterjemahkan melalui penyertaan delegasi tinggi pasaran koperasi Asia Tenggara dalam program “New Opportunities for China–ASEAN Market Expansion” yang berlangsung di Guzhen, Zhongshan bermula 27 hingga 28 Mei 2026.

Program berprestij antarabangsa itu menghimpunkan pemimpin kerajaan wilayah dan perbandaran China, pemain industri pembuatan, pelabur antarabangsa, dewan perniagaan luar negara serta syarikat teknologi perdagangan digital bagi meneroka peluang baharu kerjasama ekonomi antara ASEAN dan China.

Timbalan Setiausaha Jawatankuasa CPC Bandar Guzhen, Wen Qinghua dalam ucapan alu-aluannya berkata, Guzhen terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri pencahayaan dunia melalui pembangunan perdagangan lebih profesional, cekap dan berorientasikan teknologi pintar.

Menurut beliau, bandar itu kini mempercepat integrasi kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) serta pembangunan bandar pintar dan pelancongan malam budaya dalam industri pencahayaan bagi memenuhi permintaan global yang semakin berkembang.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Industri Pencahayaan China, Wang Xuhua berkata, laporan kerja Kerajaan China 2026 memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur bandar yang membuka peluang besar kepada industri pencahayaan jalan, pencahayaan kejuruteraan pintar serta pencahayaan pelancongan budaya.

Beliau berkata, trend global kini menunjukkan pencahayaan bukan lagi sekadar fungsi asas tetapi berkembang menjadi pengalaman imersif cahaya dan seni visual yang memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan pembangunan bandar.

Presiden ACO merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abd. Fattah Abdullah berkata, peranan institusi koperasi kini semakin signifikan sebagai pemacu ekonomi rasmi ASEAN selepas mendapat pengiktirafan di bawah Perkara 16 Piagam ASEAN.

Menurut beliau, sektor koperasi di rantau Asia Tenggara kini merangkumi 347,599 koperasi dengan keanggotaan melebihi 66.6 juta individu, sekali gus menjadikan gerakan koperasi bukan lagi sekadar platform komuniti setempat, tetapi sebahagian daripada infrastruktur ekonomi serantau.

“Sektor koperasi ASEAN mencatatkan sumbangan lebih USD195 bilion atau kira-kira RM920 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN tahun lalu, selain menyediakan lebih 11 juta peluang pekerjaan.

“Justeru, kerjasama antara ACO dan rakan strategik di China perlu bergerak melangkaui perdagangan konvensional melalui pembangunan ekosistem ekonomi lestari yang menggabungkan logistik pintar, platform pasaran digital, pengiktirafan sijil halal dan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut hari ini.

Beliau yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) berkata, ACO kini bekerjasama rapat dengan syarikat teknologi serantau menerusi pengenalan platform ASEAN Digital Marketplace dan inisiatif “Green Channel Initiative”.

Inisiatif yang diperkenalkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ASEAN Digital Bhd., Dato’ Sri Mir M. Khan itu bakal berfungsi sebagai gerbang digital bersepadu bagi memudahkan kemasukan produk secara timbal balik melalui sistem logistik pintar, pembayaran rentas sempadan, kelulusan pensijilan produk serta rangkaian pengedaran koperasi yang diyakini.

Dalam pada itu, ACO bersama badan gabungan yang mewakili Apex Koperasi dari 11 negara ASEAN menyatakan keyakinan bahawa gerakan koperasi serantau mampu muncul sebagai kuasa ekonomi global baharu yang dipacu inovasi digital serta pembangunan komuniti mampan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasaruddin Othman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine