Wednesday, April 15, 2026
HomeAKTIVITIANGKASA Perkukuh Hala Tuju Sektor Peruncitan Koperasi Menjelang 2030

ANGKASA Perkukuh Hala Tuju Sektor Peruncitan Koperasi Menjelang 2030

ANGKASA komited memperkukuh sektor peruncitan koperasi sebagai mekanisme penstabil harga dan pengimbang pasaran dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, matlamat tersebut boleh direalisasikan melalui penggemblengan rangkaian kedai koperasi secara strategik sebagai saluran pengedaran barangan keperluan asas yang lebih dekat dengan komuniti.

“Sektor peruncitan menunjukkan pertumbuhan konsisten dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dengan nilai meningkat daripada sekitar RM240 bilion pada tahun 2021 kepada anggaran hampir RM340 bilion pada tahun 2025.

Ini membuktikan sektor peruncitan merupakan antara enjin utama pertumbuhan ekonomi negara. Namun, kedudukan koperasi dalam ekosistem ini masih belum mencapai tahap yang membolehkan kita bersaing secara signifikan dengan pemain industri utama.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Penutup Bengkel Perniagaan Berimpak Tinggi ANGKASA 2026 – 2030 di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya pada 15 April 2026.

Tambahnya, dengan rangkaian koperasi yang meluas merangkumi sekolah, universiti, institusi kerajaan dan komuniti luar bandar, koperasi mempunyai kelebihan untuk bertindak sebagai mekanisme penstabil harga sekiranya digerakkan secara tersusun dan berimpak tinggi.

“Dalam pada itu, ANGKASA giat memperluaskan penyertaan koperasi dalam pelbagai inisiatif nasional termasuk Program BA100, Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Inisiatif MyRahmah bagi memperkukuh peranan koperasi dalam rantaian peruncitan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ANGKASA sebagai badan puncak perlu memainkan peranan sebagai penyelaras utama dengan menyatukan rangkaian kedai koperasi, membangunkan sistem perolehan nasional, memperkukuh pusat pengedaran serta mempercepatkan pendigitalan sektor peruncitan koperasi.

“Keberhasilan sebenar bengkel ini bukan terletak pada laporan yang dihasilkan, tetapi sejauh mana idea dan strategi yang dirangka dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap hasil bengkel dapat dijadikan asas kepada pelan tindakan yang jelas, program pelaksanaan yang konkrit serta mekanisme pemantauan yang berkesan bagi memastikan pembangunan sektor peruncitan koperasi lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Perniagaan Koperasi, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Negeri Kedah merangkap Anggota Jawatankuasa Kumpulan Perniagaan Koperasi, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh, Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka merangkap Anggota Jawatankuasa Kumpulan Hubungan Strategik, Haji Zaidan Haji Abd Hadi, Anggota Jawatankuasa Kumpulan Perniagaan Koperasi, Dato’ Syed Kamarulzaman Dato’ Syed Zainol Khodki Shahabudin, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Mohd Nasiruddin Othman, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA merangkap Anggota Jawatankuasa Kumpulan Perniagaan Koperasi, Datuk Haji Md Yusof Haji Samsudin, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Perniagaan Koperasi ANGKASA, Puan Nurul Izatee Md Yusof serta Pakar Rujuk Sektor Peruncitan, Puan NoorAzrine Pakarudin.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine