Gerakan koperasi sekolah yang berjaya mencapai perolehan RM1 juta atau lebih, merupakan sebahagian daripada penyumbang kepada peningkatan perolehan keseluruhan gerakan koperasi negara.
Koperasi SMK Taman Melawati Berhad merupakan salah sebuah koperasi yang berjaya mencapai perolehan melebihi RM1 juta pada tahun kewangan berakhir Disember 2023 dengan perolehan sebanyak RM1,106,249.19.
Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 juta Koperasi Sekolah berlangsung di Dewan SMK Taman Melawati pada 13 Jun 2025 (hari ini) dan disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Program pengiktirafan anjuran ANGKASA itu adalah bagi menghargai usaha cemerlang pemimpin dan anggota koperasi sekolah dalam membentuk usahawan koperasi berjaya pada masa hadapan.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya berkata, anggota koperasi sekolah perlu dibekalkan dengan kemahiran keusahawanan, kepimpinan dan daya inovasi pada masa kini.
“Ibu bapa dan guru juga diharap dapat memberikan sokongan dalam mengekal serta meningkatkan perolehan koperasi. Keuntungan yang diperolehi akan diberikan semula kepada sekolah dengan menaja pelbagai program yang bermanfaat untuk pelajar sekolah”, ujarnya.
Sebagai rekod, bilangan koperasi sekolah yang mencapai RM1 juta meningkat daripada 23 buah pada tahun lalu kepada 42 buah, manakala dua buah lagi telah mencatatkan perolehan lebih RM2 juta.
Tambah beliau, modal saham koperasi turut disarankan supaya ditambah supaya lebih banyak aktiviti perniagaan dapat dilaksanakan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd. Alias Hamzah, Pengetua merangkap Pengerusi Koperasi, Dr. Jagdave Singh A/l Avtar Singh dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Taman Melawati, Puan Kasma Kiprawi.



