ANGKASA sedia membantu Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) dalam misinya untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan koperasi luar negara.
Koperasi tersebut yang baru dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik 2025 dalam Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara 2025 di MITC, Alor Gajah, Melaka pada 27 Julai 2025 memohon bantuan dan sokongan ANGKASA bagi membuka lebih banyak ruang kerjasama dengan koperasi antarabangsa berdasarkan kepada peranan ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara yang aktif di peringkat serantau dan global.
KOPETRO yang diketuai Pengerusinya, Encik Ahmad Nizam Abdul Latif, menyatakan hasrat tersebut semasa mengetuai barisan Lembaga dan Pengurusan koperasi itu dalam sesi perbincangan hala tuju KOPETRO bersama Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 1 Ogos 2025.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, KOPETRO perlu mengambil langkah proaktif untuk terus berkembang secara menyeluruh termasuk meneroka model perniagaan baharu bukan sahaja secara downstream, malah upstream.
Beliau menekankan bahawa memandangkan KOPETRO kini terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan seperti pelancongan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan serta penyediaan perkhidmatan teknikal dan industri khusus kepada sektor minyak, gas dan petrokimia, adalah penting untuk koperasi tersebut memperluas jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai koperasi terbaik.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut menyatakan kesediaan ANGKASA untuk membantu menjalin kerjasama melalui rangkaian antarabangsa seperti ASEAN Co-operative Organization, Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dan platform koperasi global yang lain.
Menurut beliau langkah KOPETRO itu dilihat selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan koperasi yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa serta memperkukuh ekosistem koperasi tempatan melalui integrasi global.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Setiausaha KOPETRO, Encik Zamani Othman, Bendahari KOPETRO, Encik Ahmad Kamal Dasuki dan Ketua Pegawai Operasi KOPETRO (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO), Encik Mohd Safwan Zulmani.












