Edu Fun Run 2025 merupakan salah satu usaha murni Yayasan ANGKASA dalam menyediakan dana pembiayaan pendidikan dan biasiswa. Inisiatif tersebut juga adalah untuk memastikan komuniti koperasi, terutamanya dalam kalangan B40, tidak terpinggir untuk menggapai impian menuntut ilmu.
Justeru, matlamat pengumpulan dana pendidikan itu tentunya memerlukan sokongan masyarakat dengan menyertai Edu Fun Run 3.0 yang bakal diadakan pada 19 Oktober 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Demikian menurut Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Encik Mohd Asri Mohamed yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud pada Majlis Pelancaran Edu KL Fun Run 3.0 Tahun 2025 bertempat di Auditorium Institut Koperasi Malaysia (IKMa) pada 21 Ogos 2025.
Program itu juga adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat, menjadi wadah untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan semangat kesukanan.
Beliau dalam ucapannya juga turut menyeru pelajar yang menerima pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA dan pelajar universiti amnya agar lebih kreatif dalam menentukan masa hadapan masing-masing termasuk menceburi bidang keusahawanan dan tidak hanya menumpukan kepada pekerjaan di sektor kerajaan semata-mata.
Terdahulu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Alhusainy yang mewakili Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, menggesa agar semua rakyat Malaysia menyokong Larian Edu Fun Run 3.0 demi mengumpulkan dana pendidikan kepada warga dan anak-anak warga koperasi seluruh negara.
Menurut beliau, setiap tahun Yayasan ANGKASA akan membuat pengambilan pelajar bermula 1 Ogos sehingga 31 Oktober setiap tahun kepada pelajar yang memasuki pusat pengajian tinggi dalam negara di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA Dato’ Haji Zazali Haron, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Pengarah Program merangkap Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Haslinda Haji Ahmad termasuk wakil-wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, para penaja dan penyumbang.








