ANGKASA melalui ANGKASA Livestock & Dairy Sdn. Bhd. merancang untuk membangunkan Pelan Strategik Baharu Projek Ternakan Lembu Tenusu Gerakan Koperasi sebagai langkah untuk memastikan objektif utama projek tersebut dapat dicapai.
Rancangan tersebut disuarakan oleh Timbalan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah ANGKASA Livestock & Dairy Sdn. Bhd., Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik kepada media PELANCAR sejurus selesainya sesi menandatangani Perjanjian Penyewaan Premis Demis untuk Plot B (Kandang 2) di Mukim Sri Gading, Batu Pahat, Johor di bawah Projek Pertanian Moden, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan ANGKASA Livestock & Dairy Sdn. Bhd. bertempat di Projek Pertanian Moden (PPM) Kluang, Johor pada 17 September 2025.
Menurut beliau, kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pihak kementerian melalui PPM membuktikan bahawa potensi ‘Projek ternakan Lembu Tenusu Gerakan Koperasi’ sangat tinggi dan boleh memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi koperasi yang terlibat.
Justeru katanya, tempoh sewaan tapak yang panjang itu (Bermula 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028) dapat memberi ruang kepada pengurusan ANGKASA Livestock & Dairy Sdn. Bhd. merangka pelan baharu yang lebih signifikan. Antara yang bakal diberi tumpuan adalah program pembangunan baka ternakan lembu tenusu selain meningkatkan pengeluaran susu lembu.
Setakat ini, sebanyak 53 ekor lembu baka Friesian Holstein sedang diternak di kandang berkeluasan 30 ekar dan diuruskan oleh kakitangan ANGKASA Livestock & Dairy Sdn. Bhd.
Sesi menandatangani perjanjian sewaan tersebut turut disaksikan oleh Pengarah PPM, Dr. Rozita Abdul Rahman, Pengurus Ladang PPM, Encik Hisham Tohak, Pengurus Seksyen ANGKASA Niaga, Puan Nur Liyana Adam dan Pegawai Projek ANGKASA, Encik Mohd Afiq Azmi.







