ANGKASA terus diberi kepercayaan untuk menguruskan Dana Pinjaman Mudah Modal Pusingan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur pada 8 Disember 2025.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah hadir bagi menyempurnakan sesi menandatangani perjanjian dan bertukar-tukar dokumen mewakili pihak ANGKASA manakala LGM diwakili oleh Ketua Pengarahnya iaitu Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor.
Majlis tersebut yang diadakan secara serentak dengan Majlis Pelancaran 100 Tahun Penyelidikan Getah Malaysia itu turut dihadiri oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Jalil dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.
Program TARGET yang diterajui oleh LGM telah bermula sejak tahun 2021 bersama objektif utamanya untuk membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan dan melibatkan mereka di peringkat penghasilan bahan getah tambah nilai, iaitu getah krip, melalui Pusat Pengumpulan Getah Krip (PPGK).
Selaras dengan rancangan untuk meneruskan pelaksanaan projek tersebut sehingga tahun 2032, LGM mengadakan kerjasama dengan ANGKASA bagi tujuan pengurusan dan penyaluran dana pinjaman mudah modal pusingan kepada peserta yang terlibat.









