Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIANGKASA-MOTAC Jalin Kerjasama Strategik, Gerak Koperasi Luar Bandar dan Desa dalam Ekonomi...

ANGKASA-MOTAC Jalin Kerjasama Strategik, Gerak Koperasi Luar Bandar dan Desa dalam Ekonomi Pelancongan

ANGKASA menyatakan komitmen tinggi terhadap pembangunan ekonomi pelancongan menerusi usaha memperkukuh Program Pembangunan Pelancongan Komuniti ( Community Based Tourism ), Pelancongan Koperasi dan Pemeliharaan Warisan Seni Budaya Melalui Pendekatan Koperasi.

Inisiatif tersebut bukti kepada usaha menggerakkan koperasi luar bandar dan desa dalam ekonomi pelancongan, sekali gus meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan koperasi, lebih-lebih lagi koperasi sebagai pemain utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penglibatan sejumlah 314 buah koperasi dalam sektor pelancongan negara banyak memberi kelebihan dengan jumlah pendapatan pelancongan bernilai RM98.6 juta berakhir Disember 2024.

Beliau menyatakan demikian ketika melakukan Kunjungan Hormat Menemui Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot bertempat di Putrajaya pada 9 Disember 2025.

Menurutnya, penglibatan koperasi dalam sektor pelancongan telah meningkat tetapi disebabkan kekurangan modal, kepakaran dan model perniagaan yang kukuh menjadi jurang kepada gerakan koperasi untuk terus berkembang.

“Selain itu, peruntukan dana yang tidak mencukupi untuk menyokong pembangunan produk pelancongan, penjenamaan semula, pemasaran digital serta pembentukan rangkaian kerjasama dengan agensi pelancongan dan koperasi juga menjadi cabaran kepada mewujudkan peluang kerjasama strategik.

Justeru, ANGKASA mahu mempercepatkan Permohonan Lesen Umrah untuk koperasi yang ingin menceburi pasaran umrah bagi meningkatkan pendapatan koperasi,” ujarnya.

Keperluan dana yang mencukupi katanya, dapat meningkatkan perolehan koperasi dalam sektor ekonomi pelancongan di samping sokongan dan kerjasama penuh agensi di bawah MOTAC boleh membuka peluang lebih luas untuk koperasi lebih aktif dalam pelancongan negara.

Sementara itu, Dato’ Shaharuddin memuji usaha ANGKASA yang mahu bersama-sama MOTAC memajukan sektor pelancongan negara melalui pelbagai inisiatif yang digerakkan ANGKASA dan anak syarikatnya.

Katanya, MOTAC akan mempertimbangkan permohonan ANGKASA demi untuk kemajuan sektor pelancongan gerakan koperasi serta menyambut baik kerjasama strategik kedua-dua pihak dan berharap usaha itu dapat mencapai matlamat bersama yang lebih spesifik merangkumi pembangunan pasaran.

Terdahulu, sesi pembentangan Program Kerjasama Strategik ANGKASA -MOTAC telah diadakan dan disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Datuk Ahmad Jamil Hashim dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd. Jalil.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine