IYC2025 COOPWALK menjadi program penutup tirai yang sangat bermakna kepada Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 apabila dimeriahkan dengan penyertaan lebih 1,500 anggota koperasi dan masyarakat.
Program anjuran ANGKASA ini juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada mantan Yang Dipertua ANGKASA, Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz yang sering menjadikan program larian sebagai antara aktiviti koperasi sekitar tahun 1980-an.
Demikian menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud sewaktu berucap pada Majlis Penutupan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL), 14 Disember 2025.
Beliau juga turut menyatakan rasa teruja dengan sambutan meriah daripada pelbagai kategori umur, bangsa dan latar belakang masyarakat yang mengambil bahagian dalam program tersebut.
Katanya, program seperti ini seharusnya menjadi legasi positif atau amalan kepada generasi masa hadapan supaya mengamalkan gaya hidup sihat.
Beliau turut memberitahu bahawa Akta Koperasi akan mempunyai beberapa pindaan pada tahun 2026, seiring dengan perubahan keadaan semasa, demi manfaat anggota koperasi.
“KUSKOP juga dalam usaha meneroka pasaran makanan halal di peringkat antarabangsa yang akan dimulakan di beberapa negara di Asia, selain menawarkan koperasi untuk terlibat dalam Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026″, ujarnya.
Terdahulu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, IYC2025 COOPWALK adalah sebuah aktiviti sukan dan riadah yang dapat memupuk budaya sihat.
Menurut beliau, aktiviti seperti ini juga penting kerana dapat membantu mengukuhkan semangat kebersamaan antara anggota koperasi serta masyarakat.
Sejak dahulu lagi, gerakan koperasi mempunyai sejarah penganjuran aktiviti riadah yang menggalakkan penyertaan masyarakat. Pada tahun 1980-an, ANGKASA telah menganjurkan KOPJOG, iaitu acara berjalan kaki sempena Perayaan Hari Koperasi Antarabangsa dengan hasrat menjadikannya sebagai sukan tahunan gerakan koperasi.
Tradisi ini diteruskan pada tahun 1993 apabila KOPWALK atau Lumba Jalan Kaki ANGKASA diperkenalkan sebagai pengganti KOPJOG sempena sambutan Hari Koperasi Antarabangsa Peringkat Kebangsaan ke-71.
Pertandingan Larian Sempena Pelancaran Tahun Koperasi Antarabangsa 2012 yang berlangsung di Cheras, Kuala Lumpur. menjadi salah satu aktiviti utama ketika pelancaran rasmi IYC 2012 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Kejayaan penganjuran program-program terdahulu menjadi asas kepada penganjuran IYC2025 COOPWALK, sekali gus menandakan kesinambungan usaha gerakan koperasi dalam mempromosikan kesejahteraan fizikal.” ujar beliau.
Menurutnya lagi, program yang dianjurkan pada hari ini juga melambangkan keupayaan gerakan koperasi menghimpunkan masyarakat dalam program berimpak sosial. Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan.
Majlis Penutup IYC 2025 dimulakan dengan acara berjalan kaki bermula pukul 𝟕.𝟎𝟎 𝐩𝐚𝐠𝐢 dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan berakhir di Hutan Simpan Bukit Nanas Kuala Lumpur.
Sekalung penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pasukan polis trafik, kakitangan Menara Kuala Lumpur dan Jabatan Perhutanan Kuala lumpur yang turut bersama-sama memastikan program berjalan dengan lancar dan selamat.
Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) mewakili Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Haji Roslan Rani, Pengarah Perhutanan Negeri, Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan, Encik Azrul Ekhuan Eliah dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Encik Khairil Faizal Haji Othman.
Sementara itu, wakil daripada ANGKASA yang hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Anggota Lembaga ANGKASA Wakil KUSKOP, Encik Azizul Alias, Pengerusi JKAN Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi JKAN Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi JKAN Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd. Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.




































