Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIMDSB Rancang Tambah Dua Pusat Dialisis Baharu Tahun 2026

MDSB Rancang Tambah Dua Pusat Dialisis Baharu Tahun 2026

MyANGKASA Dialisis Sdn Bhd (MDSB} merancang untuk membuka dua lagi pusat dialisis baharu iaitu di Labuan dan Setiu pada tahun 2026.

Rancangan tersebut adalah selaras dengan hala tuju ANGKASA dalam membangunkan Sektor Penjagaan Diri dan Kesihatan selain mengembangkan program pembangunan strategik syarikat.

Demikian menurut Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MDSB sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian Makan Malam Tahunan MDSB di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 27 Disember 2025.

Menurut beliau, pengambilalihan Renal Pure Dialysis & Services oleh MDSB pada tahun 2024 telah mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam industri perkhidmatan dialisis. Seterusnya, pada Mac 2025, MDSB telah mengambil alih sebuah pusat dialisis di Tangkak daripada FOMEMA Haemodialysis Sdn Bhd.

Pada tahun 2025 juga, MDSB telah melaksanakan pengambilalihan 11 pusat dialisis tambahan pada Jun 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam fasa pengembangan strategik syarikat.

“ANGKASA sentiasa memberi sokongan yang berterusan terhadap usaha MDSB dalam membangunkan perkhidmatan kesihatan koperasi yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh negara.”ujar beliau.

Tambahnya lagi, perjalanan operasi MyANGKASA Dialisis bermula secara sederhana dengan hanya dua pusat dialisis iaitu di Temerloh pada tahun 2013 dan di Alor Setar pada tahun 2017, menjadi titik permulaan kepada usaha membina keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan dialisis yang ditawarkan oleh koperasi.

Pada peringkat awal perjalanan operasi MDSB, pelbagai cabaran telah ditempuhi, namun melalui sokongan padu ANGKASA, MDSB berkembang dan berjaya mengendalikan 16 pusat dialisis yang beroperasi di seluruh negara, sekali gus memperluaskan akses rawatan dialisis yang berkualiti, hasil komitmen tinggi warga kerja.

Ia juga mencerminkan kesungguhan ANGKASA untuk memastikan koperasi memainkan peranan yang lebih besar dalam sektor kesihatan serta menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan sosiekonomi masyarakat.

Justeru, majlis pada malam tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada semua 300 warga kerja MDSB yang telah memberikan sumbangan besar dalam memastikan operasi syarikat berjalan lancar dan berkesan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, sebahagian Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin dan barisan Anggota Lembaga Pengarah MyANGKASA Dialisis.yang terdiri daripada Haji Mansor Ab Rahman dan Dr Ahmad Alias Tajudin Zakaria serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine