Mahasiswa universiti perlu menyemai semangat nasionalisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara di samping melengkapkan diri dengan kemahiran Insaniah ( soft skills ) untuk manfaat dan kemajuan diri bagi memenuhi landskap ekonomi negara yang semakin mencabar.
Kedua-dua elemen tersebut wajar disemai dan diasah dalam diri golongan muda kerana mereka adalah pelapis baharu yang menjadi tonggak negara serta memiliki keupayaan untuk mengadaptasi dunia digital dalam apa jua bidang yang diceburi.
Mesej tersebut disuarakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud ketika merasmikan Program Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama & Lulus Cemerlang) Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi Pengambilan 2025/2026 bertempat di Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya, Selangor pada 24 Januari 2026.
Katanya, KUSKOP mahu supaya pelajar menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dengan menyertai atau menubuhkan koperasi seiring dengan tuntutan ekonomi dan sosial rakyat di negara ini.
Beliau mahu usaha menubuhkan Koperasi Alumni Pelajar Tajaan Yayasan ANGKASA direalisasikan bagi memupuk rangkaian, keusahawanan dan faedah ekonomi secara bersama.
Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berbesar hati mengumumkan Yayasan ANGKASA dengan kerjasama strategik Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa) telah melaksanakan Penajaan Khas Bagi Pelajar Palestin melibatkan tiga orang pelajar.
“Buat masa ini seorang pelajar iaitu Saudari Duha M. A. Alsawarka telah ditawarkan penajaan bersama bagi mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan ( Cooperative Management ) di UKKM. Penajaan ini membuka akses kepada pendidikan berkualiti tinggi sekali gus mencerminkan peranan aktif gerakan koperasi dalam memperkasa modal insan antarabangsa serta melahirkan pemimpin masa hadapan yang berilmu.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, Yayasan ANGKASA telah menaja seramai 2,095 orang pelajar di pelbagai peringkat dan bidang pengajian dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM37.52 juta dan daripada jumlah itu, sejumlah RM11.97 juta ditukar kepada biasiswa,” ujarnya.
Seramai 26 orang pelajar mendapat Anugerah Ijazah Kelas Pertama dan empat orang menerima Anugerah Lulus Cemerlang manakala sejumlah 197 orang penerima terdiri daripada pelajar baharu Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi Pengambilan 2025/2026 diraikan dalam majlis tersebut.
Majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang termasuk pelajar, ibu bapa/penjaga dan penyumbang utama Yayasan ANGKASA itu turut menyaksikan Sesi Penyampaian Penghargaan kepada Penyumbang Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA bagi tiga kategori iaitu Kategori Koperasi, Kategori Badan Korporat dan Agensi serta Individu dan Sesi Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan ANGKASA dan Bank Muamalat bagi menjalankan Program Crowdfunding Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Siti Azlin Ahmad Dauta, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SKM, Encik Rozdeen Mohd Jaafar, Naib Canselor UKKM, Prof. Dato’ Dr. Azali Mohamed dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan dan Perundingan Koperasi, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Encik Mohamed Rasydi Abd. Rashid.
Selain itu, Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Anggota Lembaga ANGKASA iaitu En. Azizul Alias (Wakil KUSKOP), En. Ezleezan Othman (Wakil Kementerian Kewangan), barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Haji Nasir Khan Yahaya dan Dato’ Hajah Rosni Haji Zahari.
Turut hadir ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Pengerusi ANGKASA Negeri Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh serta barisan pengurusan kanan ANGKASA.


















