Pertandingan Boling Persahabatan ANGKASA dan Media 2026 berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 72 pengamal media mewakili 24 pasukan daripada pelbagai agensi media di Strand Mall, Damansara, 25 Januari 2026.
Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan media yang sentiasa memberi liputan, sokongan dan ruang berita kepada ANGKASA serta gerakan koperasi di Malaysia.
Menurut beliau, media memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang koperasi dalam kehidupan seharian, pembangunan ekonomi rakyat dan juga negara.
“Masyarakat mengetahui kejayaan koperasi melalui liputan media yang menguar-uarkan sumbangan dan potensi gerakan koperasi sama ada kejayaan koperasi sekolah, koperasi masjid, koperasi wanita termasuklah koperasi belia.” ujarnya.
Katanya lagi, koperasi merupakan organisasi yang ditubuhkan demi menjaga kebajikan anggota dari aspek manfaat ekonomi melalui nilai kebersamaannya.
Beliau percaya media sendiri mempunyai potensi besar untuk berkecimpung dalam koperasi dan boleh berdaya saing dengan membuka peluang perniagaan seperti pengiklanan, sumber maklumat, teknologi dan inovasi dalam dunia penyiaran.
ANGKASA juga sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada mana-mana pihak media yng berminat meneroka model koperasi sebagai alternatif pembangunan sosioekonomi yang lebih mampan.
Beliau juga menyatakan rasa terharu dan terima kasih atas penyertaan warga media yang hukan sahaja memeriahkan program, malah mencerminkan hubungan erat antara ANGKASA dan media.
Hadir sama ialah Anggota Lembaga ANGKASA, (Wakil KUSKOP), Encik Aziul Alias, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang merangkap Timbalan Pengerusi KOPSYA, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Pengarah Penyiaran JAKIM, Encik Wan Azhan Wan Hamat dan Ketua-ketua Agensi Media.
Pasukan daripada TV9 muncul sebagai Johan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,800.00, trofi dan hamper manakala Naib Johan adalah pasukan RTM yang menerima wang tunai RM1500.00, trofi dan hamper. Sementara itu, tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM1,200.00, trofi dan hamper yang dimenangi oleh pasukan New Straits Times. Peserta turut diraikan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah sejumlah 30 barangan elektrik serta hamper.




















