Friday, August 1, 2025
HomeANTARABANGSAANGKASA Komited Teruskan Agenda Penubuhan Koperasi Kariah Masjid di Rantau ASEAN

ANGKASA Komited Teruskan Agenda Penubuhan Koperasi Kariah Masjid di Rantau ASEAN

ANGKASA akan terus memberikan komitmen penuh terhadap penubuhan lebih banyak Koperasi Kariah Masjid (KKM) di Filipina dan seluruh rantau ASEAN kerana percaya model tersebut mampu menyelesaikan permasalahan sosioekonomi umat Islam.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama di antara ANGKASA dan National Commission on Muslim Filipinos (NCMF) bukan sahaja telah terbukti dengan penubuhan 11 buah KKM sejak 2023, tetapi impaknya dalam membantu komuniti Muslim di negara tersebut mendapatkan bekalan makanan halal semakin dirasai dan pastinya akan berkembang lebih jauh selepas ini.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Pertemuan dengan Pemimpin-Pemimpin Koperasi Bandar Kapai, Wilayah Lanao Del Sur, Filipina pada 14 Julai 2025.

Beliau yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata, apa yang lebih membanggakan adalah, inisiatif penubuhan KKM bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti Muslim tetapi juga penduduk bukan Islam di kawasan sekitar, khususnya dalam aspek pengeluaran makanan, penciptaan pekerjaan dan penglibatan komuniti.

“Model KKM ini mencerminkan semangat solidariti, semangat bekerjasama dan kemakmuran yang dikongsi, salah satu nilai yang menjadi teras kepada gerakan koperasi.

Kerjasama dengan agensi tempatan seperti ini akan terus diperkukuh demi pembangunan bersama melalui gerakan koperasi, perkongsian strategik dan komitmen untuk memperkasakan masyarakat di seluruh ASEAN,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, seramai 27 orang pemimpin koperasi dan ketua kampung setempat hadir bagi memberikan sokongan kepada ANGKASA selain mengambil inspirasi tentang gerakan koperasi dari sudut pengalaman langsung ANGKASA di peringkat tempatan dan global.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 30 buah KKM di seluruh ASEAN menjelang tahun 2030.

Sebelum itu, delegasi ANGKASA telah melawat dua buah koperasi di sana termasuk Pabrica Agri Farm Agriculture Cooperative di Malabang dan Hamzaa Cooperative di Kapai.

Pabrica Agri Farm Agriculture Cooperative yang dipengerusikan oleh Encik Raizuli L. Dimaporo menjalankan aktiviti tanaman pokok kelapa seluas 300 hektar dan pernah mendapat pembiayaan ANGKASA pada tahun 2023 untuk projek Aquaponik ikan Tilapia. Projek tersebut kini dalam fasa pertama dengan 75 ekor ikan.

Hamzaa Cooperative yang dipengerusikan oleh bekas Datuk Bandar Kapai, Hamzah Guaraki pula menjalankan aktiviti ternakan ayam dengan visi untuk menyelesaikan masalah ekosistem pembekalan ayam bukan sahaja di peringkat tempatan, malah seluruh Mindanao.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Datuk Bandar Kapai, Mus-Ab A. Gauraki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ketua Bahagian Koperasi, Bureau of Muslim Economic Affairs (BMEA), NCMF, Encik Almojin D. Pandapatan, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Seksyen Malaysian Business Office (MBO), Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine