ANGKASA Negeri Selangor dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Negeri Selangor) telah menganjurkan Program Pembangunan Strategik Koperasi Negeri Selangor 2026 (Siri 1) bertempat di Wisma Ungku A. Aziz, ANGKASA, Kelana Jaya pada 28 Oktober 2026.
Seramai 50 peserta terlibat terdiri daripada perwakilan 33 buah koperasi di Negeri Selangor, meliputi wilayah Klang, Shah Alam dan Petaling.
Penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman kepimpinan koperasi berkaitan aspek tadbir urus, pematuhan perundangan serta peluang pembangunan perniagaan koperasi.
Antara pengisian program ialah taklimat ringkas Mesyuarat ANGKASA Negeri Selangor 2027, perkongsian berkaitan kawal selia koperasi dan pematuhan perundangan koperasi, penerangan mengenai projek perniagaan ANGKASA serta sesi kemas kini maklumat koperasi melalui platform Coop Bridge.
Pengisian tersebut diharap dapat membantu koperasi memperkukuh pengurusan organisasi, meningkatkan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa dan meneroka peluang perniagaan secara lebih strategik.
Majlis perasmian penutup dimulakan dengan ucapan oleh Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Datin Hjh. Nor Faridah A. Bakar.
Beliau menekankan peranan ANGKASA dalam memperkasakan gerakan koperasi melalui latihan, bimbingan dan peluang perniagaan di samping berharap agar program yang dianjurkan ini dapat membantu koperasi meningkatkan keupayaan pengurusan serta memperluas jaringan kerjasama.
Seterusnya, Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, kesepaduan gerakan koperasi dan komitmen kepimpinan bagi memastikan koperasi terus berdaya saing serta memberi manfaat kepada anggota.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Negeri Selangor), Puan Norhayati Nayan, yang menekankan kepentingan pematuhan perundangan, ketelusan dan integriti dalam pengurusan koperasi bagi menjamin kelestarian serta keyakinan anggota.
Secara keseluruhannya, program ini diharapkan dapat meningkatkan kompetensi kepimpinan, memperkukuh kerjasama antara ANGKASA, SKM dan koperasi serta merangsang pertumbuhan perniagaan koperasi di Negeri Selangor.
Program ini akan diteruskan melalui Siri 2 pada 4 November 2026 di Kuala Selangor dan sesi seterusnya pada 2 Disember 2026 di Sepang bagi memperluas manfaat pembangunan strategik kepada lebih banyak koperasi.
Laporan oleh,
ANGKASA SELANGOR









