ANGKASA menggesa semua 600 koperasi kredit di bawahnya supaya mempunyai Sijil Pematuhan Syariah menjelang akhir tahun 2025.
Sasaran itu penting dalam usaha memastikan koperasi bebas daripada elemen ketidakpatuhan syariah seperti Riba, Gharar dan Maisir selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan koperasi di negara ini.
Demikian dinyatakan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika menyampaikan ucapan Majlis Penutupan Bengkel Pensijilan Pematuhan Syariah Koperasi Kod BPA 2025 bertempat di Bangi, Selangor pada 31 Julai 2025.
















Katanya, kepatuhan syariah bukan lagi satu alternatif malah merupakan satu kewajipan selain memastikan keuntungan yang diperolehi mendapat keberkatan ALLAH SWT.
‘Sehingga kini, daripada 600 buah koperasi pembiayaan di bawah ANGKASA, 255 buah sudah memperoleh sijil dan kita sasarkan bakinya 345 lagi mempunyai Sijil Pematuhan Syariah menjelang akhir 2025’, katanya.
Jelasnya, bagi menambah bilangan koperasi yang menerima Sijil Pematuhan Syariah, ANGKASA melalui Seksyen Pematuhan Syariah, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah bersedia memberikan perkhidmatan patuh syariah kepada koperasi melalui rundingan dan bimbingan yang bersesuaian dengan produk dan aktiviti.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya turut berkata, usaha melengkapkan kesemua 600 koperasi pembiayaan mempunyai sijil berkenaan juga adalah bagi menyokong hasrat kerajaan yang mahu memastikan ekosistem pembiayaan patuh syariah di negara ini bergerak dengan lancar dan telus.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah, Dr. Syaharina Abdullah.