Monday, June 9, 2025
HomeKOPERASIKOPSYA Rekod Peningkatan Perolehan 17.2 Peratus kepada RM32.1 Juta Tahun 2024

KOPSYA Rekod Peningkatan Perolehan 17.2 Peratus kepada RM32.1 Juta Tahun 2024

Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) mencatat prestasi cemerlang sepanjang tahun kewangan 2024 apabila berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM32.1 juta, iaitu peningkatan sebanyak 17.2 peratus berbanding RM27.4 juta pada tahun sebelumnya.

Selain peningkatan pendapatan, keuntungan bersih sebelum cukai KOPSYA juga melonjak dengan ketara kepada RM12 juta pada tahun 2024, berbanding RM5.4 juta pada tahun 2023, peningkatan sebanyak 122.2 peratus.

Sehingga kini, KOPSYA juga telah meluluskan pembiayaan bernilai RM1.1 bilion dan mengeluarkan pembiayaan berjumlah RM750 juta menerusi dana dalaman serta luaran daripada institusi kewangan.

Pengerusi KOPSYA merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, walaupun KOPSYA masih belum mencapai status sebagai sebuah bank, ia tetap komited melaksanakan tanggungjawab sebagai entiti kewangan koperasi yang membantu koperasi anggota melalui pendanaan modal kerja.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) KOPSYA Kali Ke-11 yang berlangsung secara hibrid bertempat di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 24 Mei 2025.

“KOPSYA telah menerima banyak permohonan daripada koperasi anggota untuk mendapat pendanaan modal kerja. Namun, terdapat kekangan dana daripada sumber dalaman KOPSYA yang terdiri daripada Syer Anggota dan Deposit. Sehingga kini, jumlah sumber dana dalaman KOPSYA hanya berjumlah RM99.5 juta,” katanya.

Tambah beliau, jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung permohonan daripada koperasi anggota yang menjalankan aktiviti perniagaan berpotensi seperti pembelian aset hartanah perladangan, pembinaan dan lain-lain.

“Saya menyeru koperasi anggota untuk menambah modal syer dan meletakkan deposit di KOPSYA. Ini secara tidak langsung akan membantu KOPSYA untuk bergerak dengan lebih pantas dalam penyediaan lebih banyak sumber modal untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam kepada anggotanya,” jelasnya.

Ujarnya lagi, dengan penambahan modal syer dan meletakkan deposit, koperasi anggota akan menikmati dividen yang lebih menarik dan keuntungan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, seramai 770 perwakilan berdaftar seluruh negara telah menyertai MAPT KOPSYA Kali Ke-11 yang terdiri daripada 314 orang yang hadir secara fizikal dan 456 orang secara dalam talian.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Abdul Fattah itu telah membentangkan sebanyak 14 agenda antaranya Mengesahkan Minit MAPT KOPSYA Kali Ke-10 (2024), Laporan Lembaga Bagi Tempoh Januari Sehingga Disember 2024 dan Laporan Jawatankuasa Audit Dalaman Bagi Tempoh Januari Sehingga Disember 2024. Selain itu, turut dibentangkan Penyata Kewangan Yang Telah Diaudit Bagi Tempoh Januari Sehingga Disember 2024.

Mesyuarat turut melantik tujuh (7) orang Anggota Lembaga KOPSYA dan enam (6) perwakilan bagi Jawatankuasa Penentusah Minit MAPT KOPSYA Kali Ke-11 menerusi proses pengundian secara digital yang bermula kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Hadir sama secara fizikal ialah Timbalan Pengerusi KOPSYA, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Setiausaha KOPSYA, Haji Alimen Ahmad, Bendahari KOPSYA, Haji Mohamad Noor Mohamad, barisan Anggota Lembaga KOPSYA serta barisan pengurusan KOPSYA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif KOPSYA, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd Hatta.

Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Naib-Naib Presiden ANGKASA terdiri daripada Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri serta Ketua Pegawai Pengurusan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha.

Senarai Anggota Lembaga KOPSYA:-

Pengerusi: Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah

Timbalan Pengerusi: Dato’ Haji Mohd Jamil Othman

Setiausaha: Haji Alimen Ahmad

Bendahari: Haji Mohamad Noor Mohamad

Anggota Lembaga:

■ Hajah Riguan Rashidi

■ Datuk Haji Mohamad Ali Hasan

■ Dr. Haji Wan Mohtar Wan Yusoff

■ Tuan DSP (B) Suhaimi Haji Ahmad

■ Haji Shaarani Abd Rahman

■ Haji M. Nasir Ramli

■ Encik Syahrudin Hanib

■ Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin

■ Puan Norizah Abdullah

■ Encik Mohd Fauzi Mohammed Saif

■ Prof. Ts. Dr. Razali Hassan

 

Jawatankuasa Penentusah Minit MAPT KOPSYA Kali Ke-11:-

1. Puan Anis Akmal Arshad

2. Haji Majib Jussoh

3. Haji Saidon Othman

4. Haji Adnan Awang

5. Encik Abdul Wahab Alias

6. Engku Mohd Nasir Syed Mohamad

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine