ANGKASA terus komited memperkasakan sektor peruncitan negara melalui penganjuran Program Jualan Rahmah Madani ANGKASA yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial koperasi. Program ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah dan berpatutan.
Usaha ini juga sejajar dengan Pelan Strategik ANGKASA 2050 (PESAN50) yang digariskan untuk merealisasikan visi ANGKASA sebagai Pemacu Unggul Kelestarian Sosioekonomi Gerakan Koperasi. Melalui program ini, koperasi bukan sahaja menjadi ejen penstabil ekonomi, malah berperanan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara koperasi dan komuniti setempat.














Antara koperasi yang terlibat menjayakan program ini termasuklah Koperasi 1Keluarga Malaysia Berhad dan Koperasi Kariah Masjid Saujana Utama Sungai Buloh Berhad (COOPMSU).
Program yang dianjurkan oleh Koperasi 1Keluarga Malaysia Berhad diadakan di FRIM, Kepong ini menunjukkan impak positif terhadap pengukuhan koperasi serta memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Manakala program Jualan Rahmah Madani yang dianjurkan oleh Koperasi Kariah Masjid Saujana Utama Sungai Buloh Berhad (COOPMSU) di perkarangan Masjid Saujana Utama juga dirancakkan dengan penganjuran Karnival SUKA Komuniti Sihat Bersama 2025 yang diselaraskan bersama ILKKM Sungai Buloh dan pelbagai agensi strategik.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah khidmat pemeriksaan kesihatan percuma, klinik pergigian bergerak, derma darah, pameran gaya hidup sihat, dan jualan produk koperasi serta usahawan tempatan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut menyokong usaha ini dan menegaskan bahawa keanggotaan koperasi seperti koperasi kariah masjid perlu bersifat inklusif, merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Langkah ini dapat memperluaskan pengaruh koperasi sebagai institusi ekonomi rakyat yang menyeluruh dan mesra komuniti.
Program Jualan Rahmah Madani ANGKASA memberi kesan berganda kepada masyarakat melalui penjimatan kos sara hidup, peluang menjana pendapatan, penambahan keahlian koperasi serta pengukuhan struktur ekonomi setempat. Ia membuktikan koperasi mampu menjadi tulang belakang kepada transformasi ekonomi yang bersifat inklusif dan mampan.
Hadir sama ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Encik Mohd Shapie Idris, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Saujana Utama Berhad, Haji Hasnan Mustapha dan Nazir Masjid Saujana Utama Sungai Buloh, Dr Haji Saiful Farik Mat Yatin.