Agenda lawatan delegasi ANGKASA yang diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah diteruskan dengan mengadakan lawatan rasmi ke Japan Workers’ Co-operative Union (JWCU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan koperasi pekerja yang memberi sumbangan penting kepada pembangunan komuniti.
Ketibaan delegasi disambut oleh Presiden JWCU, Nobuhiro Furumura dengan beberapa orang wakil anggota JWCU. Delegasi ANGKASA berpeluang mendengar pembentangan daripada Ketua Setiausaha merangkap Ahli Lembaga JWCU, Osamu Nakano mengenai peranan dan fungsi mereka dalam memperkasakan koperasi sosial dan komuniti.
Wakil daripada anggota JWCU iaitu Central Workers’ Cooperative (CWC) dan Creators 440Hz turut berkongsi mengenai produk serta perkhidmatan yang disediakan kepada anggota dan masyarakat setempat.
Sebagai badan apeks gerakan koperasi Malaysia, ANGKASA komited dalam memperluaskan jaringan kerjasama global termasuk dengan JWCU yang telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan sumbangan koperasi pekerja dengan memberikan sokongan kepada anggotanya melalui latihan, advokasi, dan inisiatif pembangunan sosial.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata ANGKASA melihat potensi besar dalam pembangunan koperasi pekerja sebagai pemangkin sosioekonomi masyarakat yang menyumbang kepada kesejahteraan sosial komuniti.
“JWCU telah membuktikan kejayaan model ini dalam memperkasakan tenaga kerja dan ANGKASA yakin perkongsian pengalaman ini akan memberi nilai tambah kepada amalan terbaik ekosistem koperasi Malaysia,” katanya.
JWCU berfungsi sebagai federasi persekutuan koperasi pekerja di Jepun yang ditubuhkan sejak tahun 1979 dan dianggotai 45 koperasi pekerja (19 anggota penuh dan 26 anggota bersekutu).
JWCU mempunyai 450 pusat perniagaan, 17,000 anggota yang terdiri daripada pekerja dan mencatatkan perolehan 37 bilion Yen. JWCU bernaung di bawah CICOPA Asia Pasifik yang ditubuhkan pada November 2021 di Seoul, Korea ketika Kongres Global International Cooperative Alliance (ICA World Congress). Menariknya, JWCU tidak menjalankan perniagaan sendiri, sebaliknya bergantung kepada yuran keahlian yang dibayar oleh anggotanya untuk memberikan perkhidmatan profesional.
JWCU memberi fokus kepada pembangunan koperasi pekerja yang dimiliki dan diuruskan oleh pekerja sendiri, menyediakan pekerjaan yang adil, meningkatkan kesejahteraan sosial serta menawarkan latihan dan pembangunan kemahiran bagi memastikan daya saing koperasi pekerja terus berkembang.
JWCU juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan koperasi pekerja di Jepun, termasuk penubuhan Tokyo DEW (Democratic Education Work) yang berfungsi sebagai pusat pendidikan dan latihan bagi koperasi pekerja.
Selain itu, JWCU turut menyokong koperasi sosial dan komuniti seperti Central Workers’ Cooperative (CWC) yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pengurusan tenaga boleh diperbaharui dan pertanian komuniti.
Dalam aspek advokasi, JWCU memainkan peranan penting dalam penggubalan Workers’ Cooperatives Act in Japan yang diluluskan pada 4 Disember 2020 dan berkuat kuasa pada Oktober 2022 untuk mengiktiraf koperasi pekerja sebagai entiti sah dan membuka lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sektor ini.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi perbincangan mengenai potensi kerjasama antara kedua-dua pihak dengan matlamat membentuk strategi pembangunan koperasi pekerja yang memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup yang seimbang dan inklusif kepada anggotanya.
Hadir sama dalam pertemuan ini ialah Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi Jawatankuasa ICA-AP Youth, Dulce Bustamante dan Setiausaha Jawatankuasa Belia ICA-AP, Shree Padmanabhan.
Lawatan ke JWCU pada 21 Februari 2025 ini mengakhiri agenda lawatan kerja delegasi Malaysia ke Jepun sempena Mesyuarat Anggota Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa Rantau Asia dan Pasifik (ICA-AP Regional Board Meeting) dan Majlis Pelancaran sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 rantau Asia Pasifik dan Jepun (IYC2025 Kick Off for Asia Pacific Region and Japan) bermula 18 hingga 21 Februari 2025 di Tokyo, Jepun.
#𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐒𝐀#𝐂𝐨𝐨𝐩#𝐊𝐢𝐭𝐚𝐊𝐨𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢#𝐖𝐞𝐀𝐫𝐞𝐂𝐨𝐨𝐩𝐬#𝐒𝐞𝐣𝐮𝐭𝐚𝐏𝐨𝐤𝐨𝐤𝐂𝐨𝐨𝐩#𝐈𝐘𝐂𝟐𝟎𝟐𝟓#𝐀𝐒𝐄𝐀𝐍#𝐂𝐨𝐨𝐩𝐞𝐫𝐚𝐭𝐢𝐯𝐞𝐬𝐁𝐮𝐢𝐥𝐝𝐀𝐁𝐞𝐭𝐭𝐞𝐫𝐖𝐨𝐫𝐥𝐝
#𝐤𝐨𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢𝐦𝐞𝐦𝐛𝐢𝐧𝐚𝐤𝐞𝐬𝐞𝐣𝐚𝐡𝐭𝐞𝐫𝐚𝐚𝐧𝐬𝐞𝐣𝐚𝐠𝐚𝐭