Kota Seriemas Golf & Country Club menjadi lokasi penganjuran Kejohanan Golf AG vs Ex-AG 2025 anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) melalui Kelab Sukan Akauntan Negara (KESAN) pada 22 Jun 2025.
Kejohanan golf anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menjadi platform yang bukan sahaja menonjolkan bakat dan kemahiran para pemain dalam sukan golf, malah berjaya memperkukuh hubungan strategik antara kakitangan AG, bekas warga AG serta rakan strategik dari pelbagai jabatan, agensi dan institusi perbankan.














Timbalan Akauntan Negara (Korporat), Puan Zainani Jusoh yang mewakili Akauntan Negara Malaysia, Datuk Nor Yati Ahmad menegaskan bahawa kejohanan ini membawa nilai harmoni dalam memperkukuh kerjasama antara semua pihak yang terlibat.
Menurut beliau, acara seperti ini berupaya memupuk semangat kerja berpasukan, disiplin dan integriti dalam kalangan peserta. Sukan golf secara tidak langsung turut mendidik individu tentang erti kesabaran, fokus, ketahanan mental serta nilai-nilai murni yang amat penting dalam melaksanakan tanggungjawab harian.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyatakan bahawa kejohanan ini merupakan platform yang tepat untuk merapatkan hubungan antara JANM dengan rakan strategik seperti agensi kerajaan, institusi perbankan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menegaskan bahawa ANGKASA sentiasa menyokong penganjuran aktiviti riadah bersama rakan strategik. Aktiviti seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama tetapi juga menyumbang ke arah pengukuhan gerakan koperasi di Malaysia.
Tambahnya lagi, inisiatif sebegini bukan sahaja membuka peluang kolaborasi dalam bidang perniagaan koperasi, malah memberi impak positif terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Seramai 136 pemain menyertai kejohanan kali ini, termasuk wakil dari sektor awam dan swasta. ANGKASA turut menghantar 10 pemain sebagai tanda sokongan kepada inisiatif yang menyatukan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan.
Hadir sama dalam kejohanan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato” Zamzuri Abdul Aziz dan Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Puan Noorlida Mohd Khalid.
Barisan kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Shaharudin Mohd. Sa’ad dan Penasihat Korporat (Sektor Kewangan) ANGKASA, Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin.