Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi tempoh dua (2) tahun mulai 3 Mac 2025 hingga 2 Mac 2027.
Penyerahan watikah pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan UUM, Prof. Madya Dr. Syuhymee Ahmad kepada Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam satu pertemuan ringkas bertempat di ANGKASA, Kelana Jaya pada hari ini (11 April 2025).
Profesor Adjung adalah satu bentuk lantikan atas ketokohan individu dalam bidang industri, perkhidmatan awam dan profesional yang diiktiraf pakar dan mempunyai peranan dan tugas tertentu dalam perkembangan UUM.
Antara bidang tugas calon yang dilantik ialah memberi pandangan dan nasihat selaku perunding kepada Kolej/Pusat Pengajian, Pusat, Institut atau Universiti dalam bidang kepakaran di samping membantu mempromosi UUM dalam meningkatkan visibiliti universiti dalam industri berkaitan serta membantu UUM membina jaringan kerjasama dengan organisasi lain.
Hadir sama dalam sesi penyerahan watikah itu ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Encik Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan UUM, Dr. Yusmani Mohd Yusoff, Timbalan Dekan ( Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan UUM, Dr Norzalila Jamaludin dan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan UUM, Dr. Mohamad Hanif Abu Hasan.