Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, program Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 menjadi simbol komitmen kerajaan dalam menangani isu kemiskinan tegar secara mampan khususnya di kawasan luar bandar dan dalam kalangan B40. Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata. pendekatan Program MADANI Rakyat 2025 menekankan pemerkasaan rakyat melalui keusahawanan sebagai mekanisme strategik untuk membuka peluang pendapatan, mewujudkan pekerjaan serta menggalakkan mobiliti sosial.
Katanya, Sabah memiliki potensi ekonomi yang besar dan berdaya saing jika pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif, khususnya melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan menyeluruh dapat diperkasakan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri. Dato’ Seri Anwar menyatakan demikian sewaktu merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, Sabah pada 11 Mei 2025.
Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick telah disambut meriah oleh lebih 100,000 warga Tawau. Sambutan hebat tersebut jelas mencerminkan sokongan padu rakyat Sabah terhadap gagasan MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan perpaduan negara.



Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus membela nasib rakyat Sabah melalui pendekatan inklusif berteraskan prinsip MADANI. Pelbagai inisiatif diumumkan termasuk pelancaran Program Solar MADANI untuk luar bandar, peruntukan RM10 juta untuk Tamu MADANI bagi membantu peniaga kecil, serta pelaksanaan 144 projek pembangunan bernilai RM14 bilion di Sabah termasuk penaiktarafan kemudahan kesihatan dan pelabuhan.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika ditemui wakil PELANCAR berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 dengan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi komuniti setempat. Melalui jaringan koperasi di seluruh negara, rakyat dapat
menikmati perkhidmatan dan barangan pada harga berpatutan serta berkualiti.
Beliau juga menyarankan agar semua koperasi meningkatkan daya saing dan tadbir urus bagi memastikan mereka terus relevan dalam landskap ekonomi semasa. Dengan penglibatan aktif dalam PMR 2025, koperasi diyakini boleh menjadi tulang belakang ekonomi rakyat secara mampan. Barisan kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul dan Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim.