Thursday, June 19, 2025
HomeKOPERASITanjong Waterfront Harbor Cruise - Pemacu Ekonomi Baharu dalam Pelancongan Koperasi

Tanjong Waterfront Harbor Cruise – Pemacu Ekonomi Baharu dalam Pelancongan Koperasi

Projek Tanjong Waterfront Harbour Cruise bukan sekadar menawarkan perkhidmatan menarik melalui pelayaran persiaran, malah merupakan satu ekosistem baharu kepada sektor pelancongan koperasi yang lebih inklusif dan berdaya saing.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, projek itu adalah satu langkah strategik bagi memperkukuhkan peranan koperasi khususnya dalam industri pelancongan.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Pelancaran Projek Tanjong Waterfront Harbour Cruise di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 April 2025.

Menurutnya, projek tersebut melibatkan kerjasama erat antara ANGKASA, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBB) dan Koperasi Perdasama Pulau Pinang Berhad dengan matlamat untuk menjadikan koperasi sebagai pemain utama dalam sektor pelancongan maritim.

β€œDengan modal sebanyak RM2 juta, projek ini bukan sahaja dilihat sebagai pelaburan ekonomi, tetapi juga sebagai inisiatif pembangunan sosial dan komuniti. Selain pelayaran, pakej pelancongan koperasi akan diperluas ke daratan merangkumi inap desa, galeri warisan dan promosi produk tempatan,” katanya.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menegaskan bahawa kejayaan projek itu amat bergantung kepada kerjasama strategik antara koperasi dan sektor swasta.

β€œDalam persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, inisiatif seperti Projek Tanjung Waterfront Harbour Cruise diharap akan menjadi titik tolak kepada kemunculan koperasi sebagai entiti yang dinamik dalam landskap pelancongan negara. Projek ini bukan sahaja memacu pembangunan ekonomi, malah menjadi lambang kebangkitan koperasi dalam era ekonomi baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli berkata, projek ini turut memberi fokus kepada impak sosioekonomi koperasi dan juga masyarakat setempat.

β€œProjek Tanjung Waterfront Harbour Cruise dapat menjana sumber pendapatan baharu kepada koperasi, membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak ahli koperasi serta memperkasa pengurusan pelancongan melalui latihan dan penglibatan langsung.

Projek ini juga dilihat sebagai model yang boleh dicontohi oleh koperasi lain di seluruh negara dalam menerokai bidang pelancongan secara lebih profesional dan berstruktur,” katanya.

Bot bernilai RM500,000 ini mampu membawa seramai 15 orang penumpang dan dilengkapi dua enjin berkuasa 250HP. Bot ini berupaya merentasi jarak sejauh 110 hingga 120 kilometer di laluan laut dari Pulau Pinang ke Langkawi dengan kapasiti tangki minyak sebanyak seribu liter. Spesifikasi ini menjadikannya pilihan sesuai untuk pelayaran jarak sederhana sama ada bagi tujuan pelancongan maritim atau operasi persiaran komersial yang efisyen dan berdaya saing.

Hadir sama ialah Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamaruddin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Pengerusi Koperasi Perdasama Pulau Pinang Berhad, Encik Malik Faisal Abdul Rahim, Pengarah Bahagian Penyelarason Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Dr. Haji Syahqrudin Shah Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd, Encik Farizul Arif Abd. Mutalib, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Pulau Pinang, En. Roslee Mat Yusoff, Pengurus Fibra Marine Manufacture And Trading, Encik Mohamad Naser Talib, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Mustapha serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd. Jalil.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine