Kira-kira 2,000 peserta mengambil bahagian dalam acara Ladang Sawit Fun Run 2025 yang diadakan di padang Sekolah Kebangsaan FELDA Air Tawar 5, Kota Tinggi pada 14 September 2025.
Acara larian tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan Negeri Johor, Tuan Aznan Tamin.
Beliau dalam ucapannya berkata, program Fun Run Ladang Sawit berpotensi diangkat sebagai salah satu program dalam Tourism Johor.
Menurut beliau, terdapat lebih 70 buah FELDA di sekitar Negeri Johor yang menjadi anak emas kepada kerajaan negeri itu dan program Fun Run Ladang sawit boleh dilaksanakan bagi memeriahkan lagi aktiviti pelancongan.
Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya berkata, program tersebut membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap usaha Yayasan ANGKASA dengan kerjasama FELDA.
Penganjuran acara tersebut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelajar sekolah yang menyertainya menerima pengiktirafan dalam bentuk markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada barisan penaja penganjuran Ladang Sawit Fun Run 2025 yang terdiri daripada FGV Holdings Berhad, MyANGKASA Amanah Berhad, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia dan lain-lain termasuk sokongan pihak KEMAS, Daerah Kota Tinggi, Tourism Johor, Majlis Perbandaran Pengerang dan lain-lain.
Hadir sama ialah ADUN Penawar, Puan Fauziah Misri, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad, Dato’ Fahrol Rahman Ahmad dan Datuk Rosni Haji Zahari, Wakil Pegawai Daerah Kota Tinggi, Encik Mohd Fikri Yusof dan Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad.
Majlis Pelepasan Peserta Larian Sawit Fun Run 2025 5KM dan 3KM disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan Negeri Johor, Tuan Aznan Tamin di Padang SK Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi seawal pukul 8 pagi.
Pada hari yang sama, Datuk Seri Dr Abdul Fattah turut berkesempatan melawat kedai runcit dan stesen minyak PETRON milik Koperasi Peneroka-peneroka FELDA Air Tawar 5 selain mencadangkan penambahbaikan dan melihat potensi pasaran produk koperasi dan masyarakat kawasan FELDA Air Tawar.






















