Tuesday, March 3, 2026
HomeUncategorizedANGKASA Perkukuh Jalinan Institusi Bersama Media Prima Sempena Ramadan

ANGKASA Perkukuh Jalinan Institusi Bersama Media Prima Sempena Ramadan

Program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) CoopCare Rezeki Ramadan ANGKASA–Media 2026 yang berlangsung di ibu pejabat Media Prima Berhad di Bangsar, Kuala Lumpur pada hari ini (20 Februari 2026) menjadi simbol penghargaan terhadap usaha dan komitmen berterusan warga media dalam menyampaikan maklumat tepat, pantas dan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Inisiatif anjuran ANGKASA menerusi Koperasi Media Prima Bhd (KOPMEDIA) itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan Ramadan, malah menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan penting petugas media dalam memperkasa kesedaran masyarakat mengenai pembangunan dan kemajuan gerakan koperasi negara.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, komitmen warga media yang konsisten menyalurkan berita sahih dan berintegriti, khususnya berkaitan pembangunan koperasi, telah membantu meningkatkan kefahaman serta keyakinan masyarakat terhadap sektor tersebut.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara gerakan koperasi dan organisasi media perlu terus diperkukuh agar maklumat berkaitan inisiatif, pencapaian dan sumbangan koperasi dapat disampaikan secara meluas dan berkesan kepada seluruh lapisan rakyat.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyampaikan sumbangan sebanyak 500 pek kit ramadan kepada petugas dari Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times dan TV3.

Turut hadir Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balasubramanian Iyer, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita & Hal Ehwal Semasa Kumpulan Media Prima, Puan Farrah Naz Karim dan Pengerusi KOPMEDIA, Encik Mohd Fadzil Abdul Ghani.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine