Bagi memperkukuh peranan Koperasi Kariah Masjid (KKM) di Negeri Sembilan sebagai wadah pembangunan ummah, satu Sesi Townhall atau Majlis Dialog telah diadakan bagi mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh KKM agar penyelesaian yang berkesan dapat dirangka dan dilaksanakan.
Sesi Townhall tersebut merupakan anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama strategik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Program ini telah dihadiri oleh 60 orang wakil daripada 30 KKM dari seluruh Negeri Sembilan yang berlangsung di Masjid Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong pada 2 Mac 2026.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA selaku badan apeks sentiasa komited menyediakan latihan dan bimbingan bagi memperkasa pembangunan perniagaan KKM.
Selain memperkukuh pembangunan KKM di dalam negara, ANGKASA turut giat memperluaskan penubuhan KKM di peringkat antarabangsa, termasuk menjalin kerjasama strategik dengan negara jiran seperti Indonesia bagi membuka peluang jaringan perniagaan serta pertukaran kepakaran.
Menurut beliau, pihak masjid perlu memberi peluang kepada koperasi yang dikendalikan oleh anggota kariah untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
Tambahnya, usaha membangunkan ekonomi melalui koperasi juga merupakan satu bentuk jihad ekonomi yang digerakkan secara berjemaah.
Terdahulu, para peserta telah diberikan taklimat berkaitan pematuhan dan tadbir urus koperasi bagi memastikan setiap tindakan yang diambil selaras dengan prinsip integriti dan peraturan yang ditetapkan.
Selain itu, panduan latihan turut disediakan bagi melahirkan kepimpinan yang berwibawa, merangka pelan tindakan pemulihan untuk koperasi tidak aktif agar dapat beroperasi semula, serta menggalakkan jaringan kerjasama antara koperasi dan agensi berkaitan.
Turut terlibat sebagai panel ialah Pengarah SKM Cawangan Negeri Sembilan, Encik Radiatul Fitri Dollah; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, JHEAINS, Encik Mohammad Ridzuan Abdul; serta Pengarah Pembangunan Koperasi Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Encik Zulkiflee Aspan. Sesi dialog ini dikendalikan oleh Pengerusi KKM Putra Nilai Berhad, Encik Andi Mohamad Zulfauzan Muhamad sebagai moderator.
Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah; Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus SKM, Encik Zahir Dahari; Timbalan Pengarah SKM Negeri Sembilan, Encik Mohamad Fadli Che Rus; Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abdul Latif; serta Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman.





















