Thursday, April 16, 2026
HomeKOPERASIProgram Ukhuwah Perkukuh Peranan Anggota Baharu Koperasi di Selangor

Program Ukhuwah Perkukuh Peranan Anggota Baharu Koperasi di Selangor

Program Ukhuwah Koperasi Anggota Baharu ANGKASA Negeri Selangor 2026 merupakan satu platform penting dalam memperkukuh jaringan serta meningkatkan kefahaman anggota baharu terhadap peranan dan fungsi gerakan koperasi. 

Program ini bukan sekadar menghimpunkan anggota baharu, malah menjadi medan strategik untuk membina hubungan silaturahim, mempererat ukhuwah serta memberi pendedahan menyeluruh mengenai tanggungjawab dan peranan mereka dalam memperkasa gerakan koperasi ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

Demikian disuarakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Penutup Program Ukhuwah Koperasi Anggota Baharu ANGKASA Negeri Selangor 2026 berlangsung di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, ANGKASA, Kelana Jaya, Selangor pada 16 April 2026. 

Beliau menegaskan ANGKASA komited memacu pembangunan koperasi bukan sahaja dari sudut perniagaan, malah memperkukuh nilai, prinsip dan identiti koperasi agar terus relevan sebagai entiti ekonomi inklusif dan mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut beliau, pencapaian gerakan koperasi negara amat memberangsangkan dengan lebih 16,324 koperasi berdaftar setakat Jun 2025, melibatkan keanggotaan melebihi 7.4 juta individu. Ia turut disokong modal syer RM18.49 bilion, aset RM267.9 bilion dan perolehan sekitar RM68.1 bilion, sekali gus melepasi sasaran RM60 bilion lebih awal.

Terdapat 2,187 koperasi berdaftar di Selangor yang menunjukkan potensi besar negeri itu sebagai penyumbang utama kepada kekuatan ekonomi koperasi negara. 

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata koperasi perlu bersedia menghadapi perubahan global dengan memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi seperti makanan, logistik, teknologi digital, pertanian moden dan perkhidmatan kewangan.

“Pemerkasaan ilmu, latihan berterusan dan bimbingan tersusun, koperasi mampu berkembang sebagai entiti ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya saing di peringkat nasional mahupun global,” ujarnya sambil menggalakkan koperasi memanfaatkan kemudahan seperti Tabung Modal Pusingan (TMP) dan Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA (KOPSYA).

Sebanyak 23 koperasi anggota baharu telah menghadiri Program Ukhuwah Koperasi Anggota Baharu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) Negeri Selangor 2026. 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Pengerusi ANGKASA Negeri (JKAN) Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad @ Ayob.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine