Saturday, April 18, 2026
HomeAGENSIANGKASA Perkukuh Kerjasama Serantau; Terima Kunjungan Delegasi Kemboja

ANGKASA Perkukuh Kerjasama Serantau; Terima Kunjungan Delegasi Kemboja

ANGKASA mencapai satu lagi mercu tanda penting dalam diplomasi koperasi serantau melalui sesi pertemuan strategik bersama delegasi ASEAN Co-operative Organization (ACO) iaitu Kemboja.

Pertemuan itu diadakan dalam suasana penuh bersejarah memandangkan ACO yang diterajui oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, telah secara rasminya menerima akreditasi sebagai entiti yang bersekutu dengan Sekretariat ASEAN pada 2 April 2026.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menerima kunjungan Delegasi Kemboja pada 17 April 2026 di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.

Pengiktirafan tersebut meletakkan gerakan koperasi sebagai rakan strategik rasmi dalam memacu agenda ekonomi dan sosial di bawah payung ASEAN.

Delegasi dari Kemboja tersebut diketuai oleh Setiausaha Negara di Kementerian Luar Negeri merangkap Timbalan Pengerusi Cambodia Amanah Takaful Association (CATA), TYT Sman Manan, Setiausaha Bawah Negara di Kementerian Penerangan, TYT Dr. Alfin Sles serta Pengarah Eksekutif CATA, Encik Sen Saman.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya menekankan bahawa status ACO sebagai entiti bersekutu ASEAN akan membuka ruang yang lebih luas bagi koperasi di rantau ini, termasuk di Kemboja, untuk bekerjasama secara lebih formal dalam sektor-sektor strategik.

“Pengiktirafan ACO oleh Sekretariat ASEAN merupakan pengiktirafan terhadap peranan gerakan koperasi sebagai pemacu kesejahteraan rakyat di Asia Tenggara.”ujarnya.

ANGKASA juga komited untuk membantu rakan-rakan di Kemboja, khususnya melalui CATA dan Cambodian Muslim Development Foundation (CMDF), dalam membangunkan model koperasi dan Takaful yang mampan.

Objektif utama lawatan delegasi Kemboja itu juga adalah untuk mempelajari model pembangunan koperasi daripada ANGKASA sebagai badan apeks yang mewakili lebih 15,556 koperasi di Malaysia.

Selain itu, memperkenalkan CATA kepada penggiat industri di Malaysia bagi meneroka potensi kerjasama ekonomi serta meneroka peluang kolaborasi strategik dalam bidang perkongsian ilmu, teknologi dan pembangunan perniagaan rentas sempadan.

Tinjauan delegasi tersebut mengenai koperasi di Malaysia, termasuklah menjadikan masjid sebagai platform untuk menggerakkan koperasi kariah masjid. Penubuhannya mampu menggerakkan ekonomi, menambah pendapatan anggota, memberi peluang perniagaan selain membantu mengimarahkan peranan masjid itu sendiri sebagai pusat ibadah dengan melibatkan ekonomi dan sosial.

ANGKASA, yang menguruskan aset gerakan koperasi bernilai RM161.9 bilion setakat Jun 2023, kini dilihat sebagai rujukan utama di Rantau Asia Pasifik dalam memperkasakan sosioekonomi melalui prinsip koperasi jati diri.

Turut hadir ialah barisan kepimpinan tertinggi ANGKASA iaitu Naib Presiden ANGKASA merangkap Anggota Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi), Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Mohd Nasiruddin Othman, Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Hubungan Strateik, Dr Hajah Salmah Haji Ishak dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine