Penyelidikan, pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi antara bidang utama kerjasama antara ANGKASA dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dimuktamadkan menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) pada 20 April 2026.
Pertukaran MoA itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik yang mewakili Presiden ANGKASA bersama Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Haji Ahmad. Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Lokman Hakim Ali serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Acara berkenaan diadakan bersempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia Ke-19 (DSA 2026) serta Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 edisi keempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Perjanjian itu turut melibatkan penyelidikan bertajuk Kajian Model Perluasan Perkhidmatan Kewangan ANGKASA Menerusi Pilar Sistem Kredit. Bagi merealisasikan kajian berkenaan, sebanyak RM20,000 disalurkan oleh ANGKASA kepada UPNM bagi tempoh 1 Disember 2025 hingga 31 Mei 2026.
Kerjasama strategik tersebut merangkumi beberapa bidang utama termasuk penulisan dan penerbitan, program pendidikan, kursus pengukuhan pasukan (team building), penyelidikan, perundingan, jaringan industri, penganjuran seminar, wacana ilmiah, diskusi bertema, forum dan latihan, perkongsian buku terbitan UPNM dan ANGKASA sebagai rujukan tambahan serta peluang latihan industri kepada pelajar tahun akhir UPNM.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, ketika ditemui wakil PELANCAR berkata kerjasama itu membuka ruang kepada penerokaan bidang penyelidikan baharu yang lebih tersusun dan berfokus, khususnya dalam memperkukuh model perkhidmatan kewangan koperasi.
Menurut beliau, penglibatan institusi akademik seperti UPNM mampu memperluas aplikasi ilmu dan kepakaran dalam sektor koperasi, sekali gus meningkatkan keupayaan organisasi untuk beradaptasi dengan perubahan persekitaran ekonomi semasa.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.









