Oleh: Muhammad Firdaus Borhan
ASEAN Co-operative Organization (ACO) kini mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada pemerkasaan strategi pendanaan bagi memacu fasa pertumbuhan baharu gerakan koperasi di seluruh rantau Asia Tenggara.
Melalui penglibatan intensif dalam sesi teknikal berkaitan permohonan dana yang diuruskan oleh pihak ASEAN yang berlangsung di Ibu Pejabat Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia pada 13 Mei 2026, ACO telah mengenal pasti mekanisme pendanaan yang lestari untuk menyelaraskan inisiatif koperasi dengan matlamat jangka panjang Visi Komuniti ASEAN 2045.
Sesi tersebut telah dihadiri oleh Setiausaha Agung ACO merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA yang juga Ahli Majlis Kerja ACO, Dr. Hajah Salmah Ishak.
Sebagai entiti dalam kategori Civil Society Organization (CSO), ACO kini mempunyai akses pembiayaan di bawah tiga tunjang utama, termasuklah tunjang Ekonomi (AEC) bagi memperkukuh inovasi koperasi sebagai penyumbang ekonomi keempat terbesar dunia, serta tunjang Sosio-Budaya (ASCC) yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan untuk manfaat 66.6 juta anggota.
Selain itu, dana daripada ASEAN ini akan dapat dimanfaatkan bagi mengintegrasikan rantaian bekalan dan logistik sesama koperasi merentas sempadan untuk meningkatkan kecekapan perdagangan serantau.
Bagi memastikan kelestarian gerakan koperasi terutamanya dalam bidang perniagaan dan perdagangan, ACO kini mempunyai akses rasmi kepada tiga saluran utama pendanaan projek kerjasama ASEAN yang merangkumi Dana Amanah Rakan ASEAN (ASEAN Partners’ Project Trust Funds), Dana Projek Rakan ASEAN (ASEAN Partners’ Project Funds), serta Dana Projek ASEAN (ASEAN Project Funds).
Dalam usaha menjamin kejayaan permohonan dana tersebut, ACO komited untuk mengenalpasti program bersesuaian untuk dilaksanakan yang melibatkan semua anggota ACO di negara anggota ASEAN.
Sebagai wakil gerakan koperasi di peringkat ASEAN, ACO juga bertanggungjawab untuk memastikan setiap kertas cadangan projek yang diusulkan memenuhi kriteria teknikal yang ketat seperti yang telah ditetapkan oleh pihak ASEAN dan penyedia dana yang terlibat. Kesemua cadangan program atau projek yang dirancang perlu mendapat kelulusan rasmi daripada badan sektoral ASEAN yang berkaitan.
Melalui peluang ini, ACO dapat merealisasikan rancangan pembangunan gerakan koperasi serantau melalui pemerkasaan latihan dan pendidikan dan koperator melalui program-program latihan di peringkat antarabangsa seperti program Cooperative Leadership Program (CLP) dan juga visi merealisasikan penubuhan ASEAN Co-operative Management and Leadership Institute (ACMAL) yang merupakan antara resolusi yang telah dicapai semasa berlangsungnya program ASEAN Co-operative Dialogue 2025 pada tahun lepas bagi menyediakan latihan komprehensif kepada para koperator di peringkat universiti.







