HomeAGENSIGeran Penyelidikan ANGKASA - Asas Perkukuh Pembangunan Koperasi

Geran Penyelidikan ANGKASA – Asas Perkukuh Pembangunan Koperasi

ANGKASA telah memperuntukkan RM140,000 menerusi Geran Penyelidikan ANGKASA bagi merancakkan pelaksanaan penyelidikan yang lebih komprehensif, berkualiti dan berimpak tinggi sebagai asas memperkukuh pembangunan gerakan koperasi negara.

Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, geran tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan dasar dan strategi pembangunan koperasi yang lebih mantap serta membantu ANGKASA membuat keputusan berasaskan bukti dalam menangani pelbagai isu dan cabaran semasa.

Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kolokium Inovasi Penyelidikan Untuk Kecemerlangan Koperasi yang dianjurkan ANGKASA dengan kerjasama Cooperative & Entrepreneurship Development Institute (CEDI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Dato’ Ali Baharum, ANGKASA pada 14 Julai 2026.

Menurut beliau, penyelidikan merupakan komponen penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan koperasi dilaksanakan secara berasaskan bukti dan mampu menghasilkan penyelesaian yang benar-benar memberi impak kepada gerakan koperasi.

Katanya, hasil penyelidikan bukan sahaja membantu mengenal pasti keperluan sebenar gerakan koperasi malah mampu memperkukuh jaringan dan rantaian nilai sektor ekonomi koperasi, meningkatkan amalan tadbir urus serta mempercepat transformasi digital melalui penggunaan teknologi seperti _Internet of Things_ (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok _(blockchain)_.

“ANGKASA melihat penyelidikan sebagai satu pelaburan strategik yang akan menjadi asas kepada pembangunan gerakan koperasi pada masa hadapan. Melalui perancangan yang tersusun, hasil penyelidikan diharap dapat membantu mengenal pasti bidang strategik berimpak tinggi untuk diterokai.

Usaha tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan sektor koperasi sebagai industri bernilai RM100 bilion menjelang 2030 menerusi pelbagai inisiatif termasuk agenda pendigitalan, keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata ANGKASA komited membangunkan ekosistem penyelidikan koperasi yang mampan termasuk membina ekosistem koperasi digital di seluruh negara supaya gerakan koperasi lebih bersedia memanfaatkan teknologi data raya, automasi dan inovasi digital.

“Segala dapatan penyelidikan yang dihasilkan melalui kolokium ini diharap dapat memperkukuh kedudukan ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi yang menjadi rujukan utama kepada pembuat dasar, pentadbir koperasi, ahli akademik dan penyelidik, di samping membudayakan penyelidikan yang lebih progresif dan berimpak tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al-Jaffri Saad yang mewakili Naib Cancelor UUM dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran kolokium seperti ini membuktikan bahawa penyelidikan bukan lagi sekadar agenda eksklusif universiti semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi satu platform strategik yang menghubungkan dunia akademik dengan industri, agensi kerajaan dan masyarakat dalam usaha menghasilkan penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada negara.

“Universiti sebagai gedung ilmu yang menghimpunkan kepakaran serta menghasilkan ribuan jurnal penyelidikan perlu memastikan setiap inovasi yang dihasilkan tidak sekadar tersimpan sebagai bahan akademik, sebaliknya dikomersialkan untuk dimanfaatkan masyarakat dan industri. Sehubungan itu, sinergi kukuh antara universiti dengan rakan strategik seperti agensi kerajaan, sektor koperasi dan sektor swasta amat penting bagi mentransformasikan hasil penyelidikan kepada produk dan penyelesaian yang boleh digunakan di dalam serta luar negara.

Selepas sesuatu inovasi dikomersialkan, kejayaannya tidak seharusnya diukur berdasarkan pulangan pelaburan (RoI) semata-mata. Sebaliknya, penilaian juga perlu mengambil kira pulangan nilai (RoV) yang merangkumi nilai tambah kepada produk, pengukuhan kerjasama strategik, pembangunan kepakaran serta manfaat yang dibawa kepada masyarakat dan ekonomi,” ujarnya.

Kolokium Inovasi Penyelidikan Untuk Kecemerlangan Koperasi menghimpunkan enam kertas kerja daripada enam buah koperasi penerima Geran Penyelidikan ANGKASA termasuk “Kajian Model Perluasan Perkhidmatan Kewangan ANGKASA Menerusi Pilar Sistem Kredit” oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, “Potensi Sorghum sebagai Sektor Keterjaminan Makanan untuk Diceburi” oleh Koperasi oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, “Kajian Pemberdayaan Belia Di Koperasi Sekolah: Ke Arah Pewujudan Model Penglibatan Inklusif dan Berkualiti” oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, “Memperkasakan Model Perniagaan Sedia Ada bagi Memastikan Kelestarian Pusat Dialisis Koperasi” oleh Universiti Malaya, “Keberkesanan Pengurusan dan Pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ke atas ANGKASA oleh Universiti Malaysia Kelantan dan “Program Sejati Madani sebagai Pemangkin Pembangunan Negara: Kajian Kes Koperasi dan Bukan Koperasi Di Malaysia” oleh Universiti Utara Malaysia.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib-Naib Presiden ANGKASA termasuk Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Kumpulan ANGKASA, Dato’ Shaharudin Mohd Sa’ad, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya dan Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Dr. Juhaida Abu Bakar.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine