HomeAGENSIANGKASA - NCIA Perkukuh Kerjasama Pacu Pembangunan Koperasi di Wilayah NCER

ANGKASA – NCIA Perkukuh Kerjasama Pacu Pembangunan Koperasi di Wilayah NCER

ANGKASA telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) di Cyberjaya pada 17 Julai 2026.

Pertemuan tersebut bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkasakan pembangunan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi komuniti di wilayah NCER, meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Delegasi ANGKASA diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama barisan pengurusan tertinggi ANGKASA, manakala NCIA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Dato’ Mohammad Haris Kader Sultan serta pegawai-pegawai kanan agensi tersebut.

Perbincangan memberi fokus kepada usaha dalam membentuk kerangka kerjasama ANGKASA-NCIA bagi memperluas penyertaan koperasi dalam projek bernilai tinggi, rantaian bekalan dan perdagangan Koridor Utara.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, ANGKASA melihat NCIA sebagai rakan strategik yang mampu memperluaskan penyertaan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi berimpak tinggi.

Sinergi itu katanya diyakini dapat membuka lebih banyak peluang kepada koperasi untuk meningkatkan daya saing, memperkukuh keupayaan keusahawanan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi wilayah secara inklusif dan mampan.

ANGKASA komited menjadi pemudah cara kepada koperasi agar dapat memanfaatkan sepenuhnya inisiatif dan program pembangunan yang disediakan oleh NCIA.

Kerjasama strategik antara ANGKASA dan NCIA juga akan memberi tumpuan kepada penyelarasan agenda pembangunan koperasi, mengenal pasti projek berpotensi dan berdaya maju, membentuk model pelaksanaan yang mampan serta memperkukuh tadbir urus melalui pelantikan focal point dan pelan tindakan bagi memastikan kerjasama dapat dilaksanakan secara berkesan dan berimpak tinggi.

Melalui sokongan program pembangunan NCIA, koperasi berpeluang meningkatkan kapasiti perniagaan, memperluaskan akses pasaran, mengadaptasi teknologi digital serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada anggota serta komuniti setempat.

ANGKASA optimis kerjasama strategik bersama NCIA akan menjadi pemangkin kepada transformasi gerakan koperasi di wilayah NCER sekali gus memperkukuh sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan hasrat menjadikan koperasi sebagai pemacu kemakmuran komuniti dan pembangunan wilayah yang mampan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Encik Hasri A. Hasan, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri
(JKAN) Perlis, Dr. Ammar Hassan, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abdul Jalil, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Perniagaan Koperasi ANGKASA, Puan Nurul Izatee Md Yusoff, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Kewangan Korporat ANGKASA, Encik Hamzah Haji Ibrahim, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin serta Penasihat Korporat (Sektor Kewangan) ANGKASA, Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine