HomeUncategorizedManfaatkan Kepakaran Veteran Penyiaran Dalam Koperasi

Manfaatkan Kepakaran Veteran Penyiaran Dalam Koperasi

Koperasi PVRTM dan Keluarga Berhad (KPVRTM) disaran memanfaatkan pengalaman serta kepakaran anggotanya dalam industri penyiaran sebagai kekuatan utama untuk membangunkan perniagaan yang lebih berdaya saing.

Demikian menurut Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-3 KPVRTM di Balai Perdana, Wisma TV, Kota Media, Angkasapuri, hari ini (18 Julai 2026).

Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata anggota KPVRTM memiliki pengalaman luas dalam bidang komunikasi, penyiaran, latihan dan produksi media. Menurutnya, kepakaran serta jaringan profesional yang dimiliki boleh diterjemahkan kepada peluang perniagaan baharu yang memberi nilai tambah kepada koperasi.

Beliau berkata, kunjungan kepimpinan KPVRTM ke ANGKASA sebelum ini memperlihatkan komitmen tinggi koperasi dalam meningkatkan kesejahteraan veteran RTM. Semangat membantu anggota menikmati kehidupan persaraan yang lebih baik, katanya, selari dengan matlamat penubuhan sesebuah koperasi.

Menyentuh perkembangan gerakan koperasi negara, beliau berkata sehingga Disember 2025 terdapat 16,468 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 7.3 juta individu. Gerakan koperasi turut merekodkan aset RM186.75 bilion, modal syer dan yuran RM18.64 bilion serta perolehan RM81.62 bilion.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan koperasi kini menjadi antara pemacu penting ekonomi negara. Malah, sasaran perolehan RM73 bilion yang ditetapkan menerusi Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) berjaya dicapai lebih awal daripada tempoh yang dirancang.

Menurut beliau, kejayaan tersebut perlu disusuli dengan usaha berterusan memperkukuh tadbir urus, profesionalisme, inovasi dan pembangunan perniagaan. Katanya, kejayaan sebenar sesebuah koperasi bergantung kepada kepimpinan yang berintegriti, sokongan anggota dan perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada KPVRTM yang kini secara rasmi menjadi anggota ANGKASA. Keanggotaan itu membuka peluang kepada koperasi untuk memperluaskan jaringan kerjasama, mendapatkan sokongan pembangunan serta meneroka peluang perniagaan bersama koperasi lain dan pelbagai agensi.

Dalam pada itu, beliau berkata ANGKASA memberi tumpuan kepada lapan sektor strategik termasuk kewangan, peruncitan, pertanian, pelancongan, penjagaan kesihatan, hartanah serta inovasi dan teknologi. Bagi KPVRTM, beliau melihat potensi besar dalam bidang komunikasi, kandungan kreatif, teknologi digital, latihan dan pembangunan modal insan berasaskan kepakaran anggotanya.

Mengakhiri ucapan, beliau berharap KPVRTM terus berkembang sebagai koperasi yang berjaya melalui kepimpinan yang kukuh, anggota yang bersatu dan hala tuju yang jelas. Beliau kemudian merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-3 Koperasi PVRTM dan Keluarga Berhad.

Terdahulu, dalam ucapan aluan Pengerusi Koperasi PVRTM, Puan Zohara Gany Bathusha merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas bimbingan dan sokongan berterusan kepada KPVRTM. Beliau berkata keanggotaan koperasi dalam ANGKASA membuka peluang untuk memperluas jaringan kerjasama, meningkatkan keupayaan organisasi serta meneroka peluang perniagaan yang memberi manfaat kepada anggota.

Hadir sama ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain dan dan barisan Ahli Lembaga Koperasi KPVRTM.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine