HomeANTARABANGSATimbalan Menteri KUSKOP Terima Kunjungan Hormat Pengarah Serantau ICA-AP

Timbalan Menteri KUSKOP Terima Kunjungan Hormat Pengarah Serantau ICA-AP

Pengarah Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Mr. Balasubramanian (Balu) Iyer mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur pada 20 Julai 2026.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, Haji Azizul Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Noor Afifah Abdul Razak, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor serta Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Pertemuan itu merupakan yang pertama diadakan sejak Datuk Mohamad dilantik sebagai Timbalan Menteri KUSKOP. Selain memperkenalkan peranan serta fungsi ICA dan ICA-AP, pertemuan tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara ICA, ICA-AP, KUSKOP, SKM, IKMa dengan ANGKASA dalam usaha memperkasakan pembangunan gerakan koperasi di Malaysia.

Dalam pertemuan itu, Datuk Mohamad menyambut baik komitmen ICA dan ICA-AP untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan Malaysia dalam usaha memajukan sektor koperasi. Beliau berpandangan bahawa kerjasama di peringkat antarabangsa bukan sahaja mampu meningkatkan daya saing gerakan koperasi negara, malah membuka peluang kepada koperasi tempatan untuk meneroka bidang baharu melalui perkongsian ilmu, teknologi dan amalan terbaik.

Beliau turut menyambut baik penganjuran ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism yang akan berlangsung di Raub dan Jerantut, Pahang dari 22 hingga 26 Julai 2026. 

Beliau berkata program berkenaan akan menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam pembangunan pelancongan berasaskan koperasi, selain menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, Mr. Balu berkata Malaysia merupakan antara anggota penting ICA yang sentiasa memainkan peranan aktif dalam pembangunan gerakan koperasi di peringkat serantau dan antarabangsa. Menurut beliau, penglibatan aktif negara dalam ICA dan ICA-AP membolehkan Malaysia terus menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi global serta diwakili dalam kepimpinan ICA di peringkat Asia Pasifik dan global.

Beliau turut mengambil kesempatan menjemput pengurusan tertinggi KUSKOP yang diketuai Menterinya, YB Encik Sim Chee Keong ke Persidangan Global dan Perhimpunan Agung ICA 2026 yang akan berlangsung di Panama dari 13 hingga 18 September 2026.

Tambah beliau, penyertaan Malaysia dalam persidangan itu dijangka memperkukuh hubungan strategik dengan gerakan koperasi antarabangsa, selain membuka peluang memperluaskan jaringan kerjasama, berkongsi kepakaran dan amalan terbaik serta meneroka inisiatif baharu yang dapat memanfaatkan pembangunan gerakan koperasi negara.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine