ANGKASA menerima kunjungan rasmi delegasi Asian Confederation Credit Union Forum 2026 (ACCU Forum 26) di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 10 September 2026, bagi memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta perkongsian pengalaman dalam gerakan koperasi kredit di peringkat serantau.
Delegasi berkenaan diketuai Presiden ACCU merangkap Presiden Federation of Savings and Credit Cooperative of Thailand Limited (FSCT), Thailand, Mr. Pol. Maj. Gen. Danukrit Kalampakorn, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif World Council of Credit Unions (WOCCU), Amerika Syarikat, Mr. Paul Treinen.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Dato’ Haji Kamarudin Ismail menyambut ketibaan delegasi serta menyampaikan ucapan alu-aluan dan taklimat rasmi, mewakili Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organisation (ACO) dan Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Pada kesempatan sama, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut berkesempatan menyantuni delegasi tersebut.
Dalam taklimat tersebut, Dato’ Haji Kamarudin berkongsi gambaran menyeluruh mengenai struktur dan ekosistem gerakan koperasi di Malaysia serta peranan ANGKASA sebagai badan apeks tunggal yang mewakili lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan keanggotaan melebihi tujuh juta individu, selain disokong 16 pejabat negeri di seluruh negara.
Taklimat itu turut menyentuh penglibatan aktif ANGKASA di peringkat antarabangsa, termasuk keanggotaannya dalam ICA sejak 1972, peranan sebagai pengasas bersama ACO serta penyertaan dalam pelbagai jawatankuasa ICA-AP.
Turut hadir Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias.





























